MBMB sahkan imej bendera pada mural di tembok Stadium Tun Fatimah, Taman Bukit Serindit, yang tular adalah bendera negeri Melaka. FOTO NURUL FAHTIHAH ZAKINAN
MBMB sahkan imej bendera pada mural di tembok Stadium Tun Fatimah, Taman Bukit Serindit, yang tular adalah bendera negeri Melaka. FOTO NURUL FAHTIHAH ZAKINAN
Amir Mamat


KETUA Menteri Melaka, Adly Zahari memandang serius berhubung satu lukisan mural menimbulkan kekeliruan masyarakat berikutan gambar hampir menyerupai Jalur Gemilang dengan bintang bucu lima di Stadium Bukit Serindit, tular di media sosial sejak petang, semalam.

Beliau berkata, meskipun lukisan terbabit digambarkan gabungan antara Jalur Gemilang (imej jalur merah putih) dan bendera Melaka, namun ia sepatutnya dipantau dan diteliti pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat.

“Sehubungan itu saya meminta Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) serta PBT lain untuk memantau setiap lukisan atau papan iklan yang mempunyai Jalur Gemilang bintang berbucu lima kerana ia boleh menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat.

“Saya harap lukisan itu diperbetulkan segera,” katanya selepas mengakhiri lawatan kerja ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Kampung Pengkalan Renggam, hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Melaka Tengah, Datuk Datuk Shamsul Ambia Abdul Aziz dan Penyelaras DUN Ayer Molek, Farhan Ibrahim.

Sejak petang semalam, tular di media sosial mengenai gambar viral di media sosial itu berikutan netizen mendakwa ada ‘kesilapan’ bendera Jalur Gemilang dengan bintang berbucu lima dan jalur merah putih pada mural di dinding tembok stadium berkenaan.

Gambar berkenaan dikongsi di beberapa laman Facebook selain aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, Datuk Bandar MBMB, Datuk Mansor Sudin akan mengambil tindakan segera untuk memperbetulkan lukisan terbabit.

Katanya, lukisan itu sudah dipamerkan sejak tahun lalu menerusi pertandingan lukisan mural membabitkan kumpulan belia di negeri ini.

“Lukisan itu sebenarnya bendera Melaka dan jalur merah putih adalah hanya hiasan atau lakaran pelukis terbabit. Mungkin rakyat keliru dengan keadaan itu.

“Bagaimanapun, saya akan bertindak segera mengubah semula lukisan berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 2:29 PM