Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di Petaling Jaya hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
Dr Mahathir pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di Petaling Jaya hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
Idris Musa

“TERIMA kasih,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad reaksi kepada pertanyaan wartawan berkenaan tiada usul undi tidak percaya daripada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri kemudian berkata, sebagai parti dan negara demokrasi, sesiapa pun bebas melakukan apa saja.

“Nak buat apa pun buatlah, kita bebas, kita parti demokrasi, negara demokrasi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Ibu Pejabat BERSATU di Petaling Jaya hari ini.

Media melaporkan, Anwar ketika ditanya pemberita di lobi Parlimen hari ini, sama ada kekalahan di Tanjung Piai akan membawa kepada usul undi tidak percaya kepada Dr Mahathir di Dewan Rakyat, menegaskan perkara itu hanya dirancang sekumpulan kecil individu.

“(Usul undi tidak percaya) tidak bangkit. Saya hubungi Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu, (Lim) Kit Siang, (Lim) Guan Eng hampir setiap hari, tidak bangkit sama sekali, tidak perlu pun kerana hubungan kita dalam kerjasama dan muafakat PH (Pakatan Harapan) kuat.

“Yang tidak (percaya) itu hanya pinggiran, picisan yang tidak masuk dalam aliran PH, dalam mesyuarat,” kata Anwar seperti dipetik.

Dr Mahathir juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang memberi pujian dengan mengibaratkan beliau buah kelapa yang semakin berguna apabila tua.

“Takpalah terima kasihlah. Tolong beri salam saya kepada beliau,” katanya.

Abdul Hadi hari ini dilaporkan berkata, Dr Mahathir adalah orang yang layak dan mampu ‘menyelamatkan’ negara ini berbanding tokoh lain.

“Itu pendirian asas kita (PAS). Walaupun ketika pilihan raya (umum) lalu, saya pernah sebut beliau tolong jaga Klinik 1Malaysia, tetapi nampaknya beliau makin tua makin menjadi.

“Tua-tua kelapa, makin tua makin kemas untuk selamatkan negara. Orang lain belum tentu, dia (Dr Mahathir) sudah tunjukkan bukti positif,” kata Abdul Hadi seperti dipetik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 9:23 PM