Siraj Mohd Zaini


OPERATOR kren dan sembilan kru kapal didakwa menyeludup rokok dan arak pelbagai jenis bernilai RM51.4 juta menggunakan 37 kontena tiga tahun lalu diperintah membela diri oleh Mahkamah Majistret Telok Datok, Kuala Langat, hari ini.

Majistret Mohd Isa Md Nor membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mohd Isa memerintahkan sembilan tertuduh warga Indonesia iaitu Purna Akbari Nasution, Rusdianto, Awaluddin, Samsul Arifin, Syaifah, Diki Hardiansyah, Ahmad Zaini, Supriafi, Ulung Nuansa dan seorang warga tempatan, Liew Choon Siong membuat pembelaan pada 16 hingga 20 Disember depan.

“Semua tertuduh diberi pilihan sama ada memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi atau keterangan tanpa bersumpah atau berdiam diri,” katanya.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh berusia antara 30 hingga 61 tahun bersama seorang lagi masih bebas terbabit dengan pengimportan barang tidak berkastam jam 2.30 petang, 23 Disember 2016.

Perbuatan itu dilakukan di atas sebuah kapal di jeti Bukit Gombak Development Sdn Bhd, Batu 13 Bandar Lama Telok Panglima Garang.

Berikutan itu, semua mereka didakwa mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1997.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak kurang RM168 juta dan tak melebihi RM336 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Abdul Rasyiddi Abd Rahman manakala semua tertuduh diwakili peguam Ben Law.

Sepanjang perbicaraan bermula Februari 2017 hingga Mac 2019, seramai 27 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dan 61 eksibit dikemukakan.

Pada Disember 2016, Harian Metro melaporkan JKDM Selangor berjaya mematahkan cubaan menyeludup 37 kontena berisi rokok dan arak yang dianggarkan bernilai RM10 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Oktober 2019 @ 5:59 PM