MAYAT yang ditemui dalam longkang. FOTO ihsan pembaca
MAYAT yang ditemui dalam longkang. FOTO ihsan pembaca
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


LELAKI dipercayai suspek cubaan pecah rumah ditemui mati di dalam longkang di Taman Inderapura, Kuantan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mayat ditemui orang awam kira-kira 11 malam sebelum melaporkan kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian bersama unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang menemui mangsa dalam keadaan tidak berbaju.

“Mangsa yang berusia 47 tahun hanya memakai jeans berwarna biru ketika ditemui.

“Berdasarkan maklumat yang kita terima, berlaku kejadian cubaan pecah rumah dalam kawasan taman perumahan itu pada 25 Oktober lalu.

“Ada kemungkinan dia lari menyembunyikan diri di bawah longkang itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohamad Noor berkata, berdasarkan pemeriksaan awal pihak forensik pada tubuh mangsa tidak menemui sebarang kecederaan atau unsur jenayah pada lelaki berkenaan.

Katanya, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Oktober 2019 @ 6:44 PM