Izlaily Nurul Ain Hussein dan Adnan Ibrahim


PERBUATAN terkutuk seorang bapa merogol anaknya sendiri akhirnya membawa padah apabila dipenjara 17 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kluang, hari ini.

Hakim K Rajeswari menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 56 tahun mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki bekerja sendiri itu didakwa merogol anak perempuannya berusia 18 tahun di sebuah rumah di Simpang Renggam kira-kira 11 malam, 3 Oktober lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, tertuduh melakukan persetubuhan dengan remaja yang juga anaknya dalam bilik di rumah berkenaan.

Mangsa kemudian melarikan diri bersama seorang adik lelakinya dan menceritakan kejadian itu pada 5 Oktober.

Keesokan harinya, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

Susulan itu, tertuduh ditahan polis pada 7 Oktober lalu.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan sudah sedar dan insaf dengan kesalahan dilakukan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.

“Berlaku beberapa kejadian sama sebelum ini, namun tidak diambil iktibar oleh tertuduh dan orang ramai,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 3:31 PM
TERTUDUH (tengah) dipenjara 17 tahun kerana merogol anak kandung di Mahkamah Sesyen Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
TERTUDUH (tengah) dipenjara 17 tahun kerana merogol anak kandung di Mahkamah Sesyen Kluang. FOTO Adnan Ibrahim