LOKASI sembilan individu melarikan 104 kambing di tapak RTB Bukit Changgang, Kuala Langat. FOTO IHSAN PDRM
LOKASI sembilan individu melarikan 104 kambing di tapak RTB Bukit Changgang, Kuala Langat. FOTO IHSAN PDRM
Siraj Mohd Zaini


DUA penternak kambing kerugian kira-kira RM90,000 selepas 104 ekor haiwan ternakannya dilarikan sekumpulan penjenayah bertopeng di tapak Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, Kuala Langat, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam, sembilan lelaki bertindak menceroboh dua kandang kambing sebelum mengugut dua pekerja warga Bangladesh berusia awal 30-an.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, semua suspek bertopeng, bersarung tangan dan bersenjatakan parang kemudian mengikat kedua-dua pekerja terbabit.

“Suspek kemudian melarikan 104 kambing baka tempatan dipercayai menggunakan lori berikutan kesan tayar ditemui di lokasi kejadian.

“Selain itu, mereka turut mengambil barangan seperti mesin rumput, alat penimbang dan wang tunai mangsa,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Bagaimanapun, Kamalariffin berkata, kedua-dua mangsa berjaya melepaskan diri daripada ikatan berkenaan kira-kira jam 4 pagi.

Katanya, mangsa kemudian terus menuju ke rumah majikannya kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian memaklumkan kejadian itu.

“Siasatan mendapati suspek dipercayai adalah warga tempatan berdasarkan pertuturan mereka.

“Polis tidak menolak kemungkinan haiwan ternakan ini adalah untuk pasaran tempatan sempena musim perayaan beberapa hari lagi,” katanya.

Beliau berkata, polis kini sedang giat memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat individu yang menawarkan dan menjual kambing tempatan dengan harga lebih murah diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Amir Asrah Mohamed Ariffin di talian 017-954 9563 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 12:56 PM