FOTO Hiasan FOTO Arkib NSTP
FOTO Hiasan FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

MEREKA yang didapati bersalah mengeluar, mencetak atau menempa mata wang Malaysia tanpa kebenaran Bank Negara Malaysia (BNM), boleh didenda tidak melebihi RM50 juta dan penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Itu antara peruntukan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Mata Wang 2019 yang dibentangkan kali pertama oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah di hadapan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Yusof di Parlimen hari ini.

Perbahasan RUU itu untuk bacaan kali kedua dijangka dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini yang berlangsung sehingga 5 Disember ini.

Pada masa ini, perbuatan penyalinan atau pengeluaran semula mata wang kertas dan duit syiling Malaysia tanpa kebenaran BNM boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000.

Antara peruntukan lain dalam RUU Mata Wang 2019 adalah tiada sesiapa pun boleh menggunakan sebarang gambar, lukisan atau reka bentuk yang menyerupai suatu mata wang kertas atau syiling dalam apa juga penerbitan dan dalam apa-apa saiz, skala atau warna tanpa diluluskan BNM.

Sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 5:47 PM