Pelepasan cukai RM2,000 untuk anak berusia enam tahun ke bawah yang dihantar ke taska atau pra-sekolah dalam RUU Kewangan 2019. FOTO Arkib NSTP
Pelepasan cukai RM2,000 untuk anak berusia enam tahun ke bawah yang dihantar ke taska atau pra-sekolah dalam RUU Kewangan 2019. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

IBU bapa boleh menuntut pelepasan cukai RM2,000 untuk anak berusia enam tahun ke bawah yang dihantar ke taman asuhan kanak-kanak atau pra-sekolah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), berbanding RM1,000 sebelum ini.

Pelepasan cukai itu antara peruntukan menarik terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat buat kali pertama hari ini.

Menurut RUU itu yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, pindaan berkenaan berkuat kuasa bagi tahun taksiran 2020 dan tahun berikutnya.

Menurut buku RUU yang diedarkan hari ini, RUU itu juga menggariskan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 diberikan ke atas perbelanjaan rawatan perubatan bagi penyakit serius yang diperluaskan untuk merangkumi kos rawatan kesuburan.

RUU itu dibentang bagi mewujudkan suatu akta untuk meminda Akta Cukai Pendapatan 1967; Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976; Akta Setem 1949; Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967; Akta Cukai Jualan 2018; Akta Kewangan 2010 dan Akta Kewangan 2018.

Selain itu, RUU itu juga memasukkan subseksyen baharu iaitu pemberian rebat cukai ke atas levi pelepasan dibayar di bawah Akta Levi Pelepasan 2019 oleh seorang individu yang meninggalkan Malaysia melalui udara untuk menunaikan umrah atau ziarah agama lain.

Perbahasan RUU itu untuk bacaan kali kedua dijangka dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini yang berlangsung sehingga 5 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 6:36 PM