SEMUA jenazah Orang Asli Suku Batek dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Koh selepas disembahyangkan di Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, Gua Musang.
SEMUA jenazah Orang Asli Suku Batek dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Koh selepas disembahyangkan di Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, Gua Musang.
Ramli Ibrahim dan Hanneeyzah Bariah Baharin


SEMUA 15 jenazah Orang Asli Batek yang meninggal dunia akibat wabak demam campak (measles) dikebumikan secara Islam dalam satu liang lahad, semalam.

Mereka adalah Jelik Jong; Amir Lee dan Mohd Saleh Khaizan berusia setahun; Nasri Rosli, 3; Puspa Lee, 5; Din Hamdan, 18; Farah Rahim, Puspam dan Farah Papan berusia 20 tahun.

Turut sama Poja Jong, 21; Haika Rahim, 22; Leha Hamdan, 26; Romi Hamdan, 29; Jais Keladi, 55, dan Mek Nab Tebu, 63.

Majlis pengebumian berlangsung di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Koh pada jam 12.30 tengah hari selepas semua mangsa dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Gua Musang (HGM) pada jam 8.30 pagi.

Terdahulu, jenazah dibawa ke Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, Gua Musang untuk solat jenazah yang diimamkan Imam Tua masjid itu, Othman Saufi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Agama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) Murtadha Abdullah; Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Amran Ariffin.

Sebelum ini, 14 Orang Asli suku Batek meninggal dunia dan dikebumikan mengikut adat bermula Mei lalu.

Bagaimanapun, mayat mereka dibawa keluar secara berperingkat sejak dua minggu lalu untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Semua mangsa selesai dibedah siasat di HGM kelmarin.

JEMAAH mengaminkan doa 15 jenazah Orang Asli Suku Batek di Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra. FOTO Fathil Asri
JEMAAH mengaminkan doa 15 jenazah Orang Asli Suku Batek di Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra. FOTO Fathil Asri

Kampung Kuala Koh masih zon merah

Perkampungan Orang Asli Batek di Kuala Koh di sini, masih lagi dalam zon merah susulan penularan wabak demam campak (measles) yang menyebabkan 15 kematian, setakat ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, pengisytiharan bebas daripada zon itu belum boleh dilakukan lagi sehingga pengesahan Kementerian Kesihatan.

“Jadi mereka yang ingin memasuki kawasan itu hanya dibenarkan setakat di Felda Aring 10 sahaja dan selepas itu, kami buat sekatan dikendalikan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Belum pasti lagi sehingga bila kawasan berkenaan akan diklasifikasikan sebagai zon merah dan ia bergantung kepada keputusan Kementerian Kesihatan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Taufik meminta semua pihak mematuhi arahan dan tidak menceroboh kawasan berkenaan bagi mengelak penularan wabak di luar kawasan kluster.

“Kita tunggu arahan selanjutnya termasuk kampung itu diisytiharkan selamat daripada jangkitan itu,” katanya.

Pada 12 Jun lalu, polis mengisytiharkan perkampungan Orang Asli Batek di Kuala Koh, Gua Musang sebagai zon merah susulan kematian 15 penduduk.

JENAZAH Jais dibawa keluar dari Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Koh, semalam. FOTO Fathil Asri
JENAZAH Jais dibawa keluar dari Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Koh, semalam. FOTO Fathil Asri

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 6:00 AM