LAPORAN portal berita Harian Metro
LAPORAN portal berita Harian Metro
Mohd Husni Mohd Noor


REMAJA lelaki berusia 14 tahun dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu, akhirnya pulang ke rumah, malam tadi.

Muhammad Aniq Adli Muhamad Adli pulang dalam keadaan tidak terurus, kaki hitam, muka penat dan kurus serta cengkung.

Berita gembira itu dikongsi ibunya remaja berkenaan menerusi akaun Facebook menerusi hantaran yang dimuat naik atas nama Nisa Idris itu.

Dalam coretannya, ibu Muhammad Aniq mengucapkan rasa syukur terhadap kepulangan anaknya itu.

“Allahuakbar.. Allahuakbar...Allahuakbar. Syukur atas nikmatmu. Ya Allah engkau perkenankan dan makbulkan doa kami. Muhammad Aniq Adli sudah kembali ke pangkuan saya sekeluarga.

“Terima kasih pada yang tolong menyebarkan maklumat kehilangan dan dalam misi pencarian Abang Aniq. Doa semua yang tidak pernah putus serta solat hajat di masjid, surau dan sekolah.

“Hanya Allah SWT dapat membalas jasa baik semua. Amin Amin Ya Rabbalamin,” katanya.

Menurut ibunya, anaknya pulang ke rumah dengan sendiri dengan mengetuk pintu rumah dan memohon ampun kepadanya.

“Jadi saya takde nak tertanya-tanya bila nampak anak saya depan mata dalam keadaan yang tidak terurus, kaki hitam, muka penat, kurus cengkung.

“Saya suruh dia mandi, makan dan terus bawa dia ke balai polis untuk soal siasat. Jadi saya harap dengan update (perkembangan) ini. Saya tak nak komen apa-apa dah selepas ni. Mohon sangat jangan tanya yang bukan-bukan,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Aniq dikatakan keluar rumah untuk menunaikan solat Maghrib di surau di Presint 9, Putrajaya pada 6 September lalu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan ibu kepada Muhammad Aniq membuat laporan polis pada 8 September sebelum polis membuka kertas siasatan di bawah orang hilang.

Berita berkaitan

Di mana Muhammad Aniq?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 12:36 AM