NUR Anis Ayuni (tengah), bersama Miah (kiri) dan Azli. FOTO NSTP
NUR Anis Ayuni (tengah), bersama Miah (kiri) dan Azli. FOTO NSTP
Rosyahaida Abdullah


TIDAK kisah meskipun terpaksa dipapah, asalkan satu-satunya anak mereka tidak terlepas peluang menikmati masa depan lebih baik.

Itu tekad Miah Suboh, 54, bagi memastikan anaknya, Nur Anis Ayuni Azli, 12, dapat mengikuti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) esok.

Nur Anis Ayuni tidak boleh berjalan seperti biasa disebabkan masalah otot yang belum dikenal pasti puncanya.

Menurut Miah, semuanya bermula selepas jari Nur Anis seakan terseliuh ketika mengulang kaji pelajaran awal tahun ini, sebelum melarat ke tangan dan kaki kiri.

“Makin teruk selepas dia demam panas disyaki denggi pada Aidilfitri baru-baru ini.

“Ototnya sangat lemah hinggakan kami kerap berpatah balik ke rumah ketika dalam perjalanan menghantarnya ke sekolah kerana dia tak tahan lagi untuk teruskan, apa lagi kena turun naik tangga.

“Kini, dia perlu makan tiga jenis ubat tiga kali sehari untuk pastikan dia boleh bergerak dan berjalan sendiri sikit-sikit di dalam rumah.

“Kini saya tidak lagi bekerja jadi bolehnya menjaganya, begitu juga suami yang sudah bersara dan bekerja sendiri,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Perumahan Awam Setapak Jaya, Kuala Lumpur, hari ini.

Bagi bapanya, Azli Hashim, 57, dia reda jika sasaran anaknya untuk memperoleh sekurang-kurangnya 5A dalam UPSR sekali gus memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tidak tercapai.

“Saya tidak mahu memaksanya, malah apabila dia masih kekal dengan cita-citanya untuk menjadi doktor dalam keadaan begini, saya hanya mampu berdoa siang malam semoga ia menjadi kenyataan.

“Selain Bahasa Melayu, saya juga kagum dengan minat serta kebolehannya dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Sains cuma dalam keadaan sekarang, kami berserah saja pada Allah.

“Dia (Nur Anis) akan berjumpa pakar tulang bagi mengesahkan masalah sebenar sebaik tamat UPSR minggu depan dan saya mohon doa semua untuk Nur Anis,” katanya.

Sementara itu, seramai 445,641 calon dijangka menduduki UPSR di seluruh negara selama lima hari pada minggu ini dan minggu depan.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, lebih 50,000 petugas peperiksaan sudah dilantik bagi memastikan semuanya berjalan lancar seperti mana dijadualkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 6:26 PM