VIDEO yang tersebar di media sosial sejak Ahad.
VIDEO yang tersebar di media sosial sejak Ahad.
Baharom Bakar


LESEN perniagaan chalet di Pulau Perhentian, Besut yang didakwa menganjurkan pesta tarian separuh bogel boleh ditarik balik sekiranya terbukti melakukan kesalahan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri sudah mengeluarkan arahan untuk siasatan menyeluruh dilakukan berhubung dakwaan berkenaan.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bertanggungjawab terhadap siasatan dan tindakan akan diambil sejurus hasil siasatan diperoleh.

“Setakat ini kita hanya menerima gambar serta rakaman pesta tarian separuh bogel itu menerusi laman sosial selepas ia ditularkan, tetapi sebelum tindakan diambil, siasatan terperinci dilakukan untuk memastikan kesahihan pesta itu.

“Jika betul dan terbukti ada pesta itu, kita akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pemilik chalet yang menganjurkan program berkenaan termasuk tarik lesen,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sejak Ahad lalu tular di media sosial mengenai video dan gambar wanita menari dalam keadaan separuh bogel bersama lelaki di sebuah chalet di pulau peranginan berkenaan.

Berdasarkan dua video masing-masing berdurasi 30 saat dan sembilan saat itu turut memperlihatkan sekumpulan lelaki dan wanita berpakaian separuh bogel melakukan aktiviti serupa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 4:41 PM