Dr Wan Azizah bersama Dr Siti Hasmah menerima sumbangan RM1 juta bagi Tabung Selamatkan Harimau Malaya di majlis sambutan Hari Harimau Global dan pelancaran kempen ‘Selamatkan Harimau Malaya’ 2019-2020 di Putrajaya, hari ini. Foto Fadli Hamzah
Dr Wan Azizah bersama Dr Siti Hasmah menerima sumbangan RM1 juta bagi Tabung Selamatkan Harimau Malaya di majlis sambutan Hari Harimau Global dan pelancaran kempen ‘Selamatkan Harimau Malaya’ 2019-2020 di Putrajaya, hari ini. Foto Fadli Hamzah
Siti A’isyah Sukaimi


WIRA, Hebat dan Melur ialah nama dipilih isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali kepada tiga anak Harimau Malaya yang dilahirkan di Zoo Negara pada 1 Mei lalu.

Dua anak harimau jantan diberi nama Wira dan Hebat, manakala Melur pula anak harimau betina yang diumumkan secara rasmi oleh beliau sendiri pada pelancaran kempen ‘Selamatkan Harimau Malaya’ 2019-2020 di Putrajaya, hari ini.

Berkongsi kisah mengenai anak harimau itu, Dr Siti Hasmah berkata, beliau sebelum ini ada melawat di Zoo Negara bersama Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

“Saya dimaklumkan oleh beliau (Dr Xavier) iaitu ada tiga anak harimau di Zoo Negara, jadi minggu lalu saya ke sana bersama beliau.

“Saya bersyukur kerana kita dapat anak harimau yang lahir di Zoo Negara. Hari ini saya umum namanya secara rasmi,” katanya ketika berucap sempena Hari Harimau Global 2019 dan pelancaran kempen itu.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyempurnakan pelancaran kempen berkenaan.

Ketiga-tiga anak harimau itu dilahirkan daripada hasil pasangan harimau dewasa iaitu Kayla dan Jati.

Dalam pada itu, Dr Siti Hasmah yang juga penaung kempen itu berkata, semua pihak dirayu untuk bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan bilangan Harimau Malaya di negara ini dapat dipertingkatkan kepada lebih 500 ekor.

Menurutnya, usaha berkenaan perlu membabitkan semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, penderma dan anggota masyarakat dipercayai dapat melonjakkan spesies Harimau Malaya.

“Sebab ketamakan diri, kita kemungkinan tidak akan dapat melihat haiwan ciptaan Allah ini, sebab ia sudah pupus.

“Sekali pupus, tidak akan ada lagi. Spesies ini ada di Semenanjung Malaysia ini saja dan jika kita tidak bersama agensi lain bertindak, ia akan pupus.

“Kelak nanti hanya ada pada lambang jata dan pada kemeja-T saja,” katanya.

Kempen itu adalah untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan pemuliharaan Harimau Malaya yang diancam kepupusan.

Ia merangkumi program konservasi dan penguatkuasaan, kesedaran awam, publisiti dan promosi serta program sumbangan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Selain itu, turut dilancarkan ialah Tabung Selamatkan Harimau Malaya yang menerima sumbangan berjumlah RM1.3 juta daripada pelbagai pihak termasuk Yayasan Al-Bukhary, Berjaya Corporation dan Ranhill Holdings.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 6:23 PM