Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Batu Pahat: Seorang warga emas cedera ditetak ketika bergelut bagi menyelamatkan isterinya daripada dibelasah seorang lelaki bertopeng dalam kejadian samun di rumah mereka di Kampung Parit Yaani Tengah di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Mohd Fadhil Sayuti, 73, yang juga pesara, cedera di lengan dan kepala akibat dilibas dengan senjata tajam oleh penjenayah terbabit di belakang rumah.

Anak mangsa Hajarul Aisyah Mohd Fadhil, 26, berkata, ketika kejadian ibunya Zainab Tarmidi, 59, terlebih dulu menyedari kehadiran seorang lelaki bertopeng di belakang rumah dan menjerit ketakutan.

Katanya, penjenayah berkenaan kemudian menyerang ibunya menyebabkan wanita itu menjerit meminta tolong sebelum bapanya yang ketika itu berada di dapur berlari ke belakang rumah untuk membantu isterinya.

“Berlaku pergelutan diantara ayah dengan penjenayah terbabit menyebabkan dia cedera di lengan dan kepala akibat ditetak dipercayai menggunakan parang.

“Bagaimanapun, penjenayah berkenaan melarikan diri selepas menyedari ibu berlari ke bahagian depan rumah sambil menjerit meminta tolong daripada jiran berdekatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Hajarul Aisyah berkata, kejadian itu turut menyebabkan ibunya cedera di lengan dan muka serta kehilangan gelang dan rantai leher emas yang dilarikan penjenayah terbabit.

“Ayah kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan dan dia kini stabil manakala ibu menerima rawatan sebagai pesakit luar tetapi masih trauma dengan kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Gerakan mencari suspek sedang dijalankan dan kita minta orang ramai yang melihat seseorang yang dalam keadaan mencurigakan berdekatan rumah mangsa sebelum dan selepas kejadian supaya menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:16 AM