FAUZIAH (kanan) menunjukkan keadaan Nurfaranizatul Syahirah kepada Aminolhuda yang melawat mereka, hari ini. FOTO Adnan Ibrahim.
FAUZIAH (kanan) menunjukkan keadaan Nurfaranizatul Syahirah kepada Aminolhuda yang melawat mereka, hari ini. FOTO Adnan Ibrahim.
Adnan Ibrahim


ALAHAN terhadap ubat diberikan menyebabkan seorang gadis kini menderita kerana mengalami masalah sakit kulit seakan-akan terbakar di seluruh tubuhnya.

Fauziah Abdullah, 40, berkata masalah dialami anak sulungnya, Nurfaranizatul Syahirah Mohd Faizal, 18, selepas mengalami demam panas serta timbul bintik-bintik merah di seluruh tubuh sejak 28 Mei lalu.

Katanya, bimbang keadaan anaknya bertambah teruk, dia dan suaminya mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk membuat pemeriksaan dan mengenal pasti punca sebenar.

“Bagaimanapun, selepas mendapatkan rawatan, doktor membenarkan anak pulang sebelum datang semula ke HSNI pada keesokan harinya untuk mengambil darah kerana anak mempunyai rekod alahan.

“Sehari selepas itu, anak sekali lagi dikejarkan ke hospital sama kerana suhu badannya meningkatkan sehingga 42 darjah Selsius, selain kulit mukanya seakan seperti terbakar kepanasan,” katanya ketika menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Negeri Johor, Aminolhuda Hassan di rumahnya di Taman Bistari Jaya, Batu Pahat, hari ini.

Fauziah berkata, selepas mendapatkan rawatan, keadaan anaknya itu bertambah buruk dengan hampir keseluruhan anggota badan termasuk mulut seperti terbakar dan terpaksa ditahan di wad untuk rawatan.

“Akibat alahan, kedua-dua mata dan mulut bernanah serta melepuh hingga menyebabkan dia tidak boleh makan selama enam hari sebelum dibenarkan pulang selepas 12 hari dirawat di wad.

“Apa yang kami boleh lakukan sekarang adalah melakukan rawatan susulan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dan berharap dia pulih seperti biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 6:02 PM