Norizuan Shamsuddin


BEKAS Pengarah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini, terhadap 26 pertuduhan menipu dalam urusan pakej umrah sehingga menyebabkan kerugian hampir RM200,000.

Tertuduh, Mohd Adam Mohd Ghazali, 31, dari Besut membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Mohd Adam berdepan 26 pertuduhan menipu lebih 20 mangsa di beberapa daerah di negeri ini berhubung pakej umrah antara Jun hingga Oktober 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M Lishantini, manakala tertuduh diwakili Mohd Hayyatuddin Muhamad dan Che Amir Che Musa

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan tiga orang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 28 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mohd Adam diiringi anggota polis ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini, untuk pertuduhan memperdaya peserta pakej umrah. Foto Ghazali Kori
Mohd Adam diiringi anggota polis ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini, untuk pertuduhan memperdaya peserta pakej umrah. Foto Ghazali Kori

Sebelum ini, tertuduh yang dilepaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan Timbalan Pendakwa Raya menghilangkan diri daripada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, selepas dua tahun diburu, tertuduh berjaya ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu di sebuah rumah di Damansara, Kuala Lumpur pada 11 Julai lalu.

Tertuduh didakwa menyalahgunakan surat yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan menawarkan pakej umrah secara subsidi kepada guru negeri itu.

Penipuan pakej umrah itu dikatakan menjejaskan seramai 4,800 individu termasuk guru selepas membayar sebanyak RM3,000 seorang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 7:18 PM