Al-Sultan Abdullah disambut Gabenor Jeddah Putera Mishaal bin Majed bin Abdulaziz (kanan) di Terminal Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz semalam sebelum baginda menunaikan umrah. FOTO Bernama
Al-Sultan Abdullah disambut Gabenor Jeddah Putera Mishaal bin Majed bin Abdulaziz (kanan) di Terminal Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz semalam sebelum baginda menunaikan umrah. FOTO Bernama
BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selesai mengerjakan umrah di Makkah bersama-sama jutaan umat Islam yang kini berada di Tanah Suci ketika musim haji ini.

Sepanjang melakukan ibadah itu, Seri Paduka yang dikawal anggota keselamatan Arab Saudi turut diiringi putera baginda, Tengku Amir Nasser Ibni Sultan Abdullah; Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah serta anggota delegasi dari Malaysia.

Sultan Abdullah turut berpeluang mencium Hajarul Aswad, batu yang diturunkan dari syurga yang terletak di sudut timur Kaabah.

Kenangan manis mengerjakan ibadah sunat itu turut dikongsi apabila Tengku Amir Nasser membantu menggunting rambut Seri Paduka ketika melakukan tahalul.

Seri Paduka berada di Arab Saudi untuk melakukan lawatan khas tiga hari bermula Jumaat lalu atas undangan Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, Penjaga Dua Kota Suci.

Pada hari pertama lawatan itu, baginda berangkat mengunjungi Madinah dan mengadakan perjumpaan bersama rakyat Malaysia di sana.

Seri Paduka dijadual berangkat pulang ke Kuala Lumpur dari Jeddah pada 5 petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 8:25 AM