Siraj Mohd Zaini


AHLI perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang, hari ini atas dua pertuduhan memalsukan dokumen dan menipu urusan jual beli tanah membabitkan kerugian RM2.1 juta, empat tahun lalu.

Tertuduh, Tan Sing Sze, 40 bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan dalam bahasa Mandarin, di hadapan Hakim Razali Ariffin.

Mengikut pertuduhan pertama, Tan didakwa menggunakan kad pengenalan dan borang 5DK yang diketahuinya palsu untuk dianggap sebagai dokumen tulen di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor pada 27 Oktober 2015.

Untuk itu dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 467 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta denda.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperdaya dua individu dan secara curang mendorong mereka untuk membeli tanah di pekan Kampung Kuantan, Kuala Selangor yang diperoleh secara penipuan dengan nilai tidak munasabah, berjumlah RM2.1 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor pada 23 November 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alison Chan May Kam, manakala tertuduh diwakili peguam Adam BH Yap.

Terdahulu, pendakwaan menawarkan jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dan kes disebut semula, 9 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 4:51 PM
TERTUDUH diiringi polis selepas menghadapi dua pertuduhan palsukan dokumen dan tipu. FOTO Saddam Yusoff.
TERTUDUH diiringi polis selepas menghadapi dua pertuduhan palsukan dokumen dan tipu. FOTO Saddam Yusoff.