Abdul Rahim (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan ketulan kristal yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di Salor dan di Kota Bharu. Foto Syamsi Suhaimi
Abdul Rahim (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan ketulan kristal yang dirampas dalam dua serbuan berasingan di Salor dan di Kota Bharu. Foto Syamsi Suhaimi
Muhamaad Razis Ismail


EMPAT orang termasuk wanita warga Thailand ditahan bersama 103 gram ketulan kristal dipercayai syabu bernilai RM15,400 dalam dua serbuan berasingan di daerah ini bermula Isnin hingga kelmarin.

Kedua-dua serbuan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu selepas menerima maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, serbuan pertama dijalankan pada 6.30 petang di sebuah rumah di Kampung Seberang Pasir Mas di Salor.

“Ketika serbuan didapati seorang wanita berusia 34 tahun berada sendirian di rumah dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut di bawah meja menemui satu beg berisi 61 paket plastik berisi ketulan kristal dipercayai syabu seberat 50 gram bernilai RM7,500,” katanya.

Menurutnya, dalam serbuan kedua pula, polis menahan tiga lelaki berusia 37 hingga 42 tahun di sebuah rumah dua tingkat di Jalan Telipot, Kota Bharu pada jam 5 petang kelmarin.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui paket berisi kristal syabu seberat 53 gram bernilai RM7,900,” katanya.

Abdul Rahim berkata, semua suspek berkenaan ditahan reman untuk membantu siasatan.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 12:23 AM