MOUNT Blanc antara lokasi pendakian Alp yang pernah dilaksanakan KJA.
MOUNT Blanc antara lokasi pendakian Alp yang pernah dilaksanakan KJA.
Hafiz Ithnin

Nama Muhammad Illaham Ishak dan Zainudin Lot memang sinonim dengan aktiviti pendakian atau kembara ekstrem. Dua nama yang mencipta sejarah tersendiri dan tidak hairanlah jika ramai mengagumi kebolehan mereka.

Lebih membanggakan, puncak ais tertinggi di dunia sudah diterokai hingga diberi kepercayaan untuk menjadi jurulatih dalam ekspedisi rakyat Malaysia merentasi Greenland pada 2014 dan sebelum itu pernah juga melatih anak muda negara ini ke puncak Everest.

Menyedari kecintaan mereka dalam dunia pengembaraan, kedua-duanya sepakat untuk menubuhkan Kelab Eksplorasi Alp Malaysia (KJA) pada 2015.

Berkenalan dengan Illaham dan Zainudin sememangnya cukup menyenangkan kerana mereka bukan saja profesional dalam sukan rekreasi ekstrem itu malah berpengetahuan luas.

Berkesempatan menyertai ekspedisi ke Gunung Stok Kangri, India bersama KJA pada 2016 memberi banyak pengalaman kepada barisan pendaki untuk menimba ilmu dari dua sifu ini.

 ILLAHAM (kiri) dan Zainudin menjadi tulang belakang kepada KJA.
ILLAHAM (kiri) dan Zainudin menjadi tulang belakang kepada KJA.

Pengikut KJA juga bukan calang-calang kerana kebanyakan mereka mempunyai latar belakang kerjaya profesional dan sentiasa membawa kempen misi kemanusiaan dalam setiap aktiviti pendakian atau pengembaraan dunia ais.

KJA yang didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 21 Mei 2015 secara rasminya melantik Zainudin sebagai penasihat dan Illaham memegang jawatan presiden. Kelab itu mempunyai 15 individu yang dilantik sebagai ahli jawatankuasa.

Illaham berkata, KJA mempunyai matlamat untuk membantu dan berkongsi kepakaran pendakian gunung salji dan penjelajahan di seluruh dunia dengan semua rakyat Malaysia.

Katanya, penerokaan dan pendakian adalah sebahagian daripada cabang ilmu yang baru terutama membabitkan pengetahuan berkenaan persediaan kelangsungan hidup di tempat ekstrem sejuk dan tinggi. Ia adalah sesuatu yang luar biasa dan perlu dipelajari serta terokai.

“Kami menyedari permintaan pendakian ke gunung bersalji semakin meningkat kerana cabarannya berlainan dan mengujakan.

“Tanpa ilmu perjalanan anda menempuh pengalaman yang sangat berisiko dan membahayakan. Malah pendaki juga perlu belajar dari asas mengenai teknik berjalan menggunakan crampon, kapak ais, tali dan kelangsungan hidup di tempat ekstrem sejuk.

“Pakaian juga memainkan peranan penting dan mesti bersesuaian dengan persekitaran semasa. Ini kerana kesilapan memilih pakaian pun anda kemungkinan kehilangan nyawa,” katanya.

STOK Kangri, India antara gunung yang pernah ditawan KJA.
STOK Kangri, India antara gunung yang pernah ditawan KJA.

Sejak ditubuhkan hingga kini, KJA menganjurkan lebih 20 ekspedisi di Malaysia dan antarabangsa antaranya Gunung Kinabalu (Malaysia) dan tujuh puncak tertinggi di tujuh benua meliputi Gunung Elbrus (Russia), Gunung Kilimanjaro (Afrika), Gunung Aconcagua (Argentina) dan Denali (Amerika Selatan) serta berhasrat untuk menganjurkan ekspedisi ke Everest pada 2022.

Selain itu, kelab berkenaan juga aktif menerokai beberapa destinasi pendakian baru seperti Stok Kangri (India) dan Siguniang (China).

Ketika ditanya berkenaan tip persediaan ke kawasan pergunungan bersalji, katanya orang ramai perlu mengetahui setiap keperluan ke sesuatu lokasi dan mengenali kebarangkalian risiko yang bakal dihadapi.

“Walaupun sesebuah negara itu mempunyai empat musim berkemungkinan tarikh yang anda pilih adalah musim hujan dan persediaan pakaian serta risiko juga tentulah berbeza.

“Pendakian Alp pula tidak semestinya gunung berketinggian 5,000 meter (m) ke atas saja mempunyai salji.

“Jika di Nepal, anda akan menemui salji pada ketinggian 5,000m dan ke atas. Tapi sekiranya menjelajah ke New Zealand pada ketinggian 2,000m hingga 3,000m anda perlu persediaan berjalan di atas ais,” katanya.

KJA bersama kumpulan ekspedisi pendakian di Mendoza, Argentina.
KJA bersama kumpulan ekspedisi pendakian di Mendoza, Argentina.

Menariknya berkenaan KJA, kelab itu sering membawa kempen misi kemanusiaan dalam setiap aktiviti pengembaraan atau pendakian yang dianjurkan sama ada di Malaysia mahu pun luar negara.

Illaham berkata, di Malaysia pihaknya juga aktif dalam program pemuliharaan gunung seperti Projek Pemuliharaan Gunung Korbu (Perak) dan Projek Pemuliharaan Gunung Batu Puteh (Perak) bersama jabatan hutan serta pendaki tempatan.

“Kami juga terbabit dalam aktiviti mencari dan menyelamat seperti mencari Ramli Abd Majid yang hilang di pergunungan Damanvand, Iran yang mana gunung ini adalah gunung bersalji dan perlukan kemahiran pendakian Alp.

“Untuk misi kemanusiaan pula kami juga tidak lupa pada negara bergolak akibat peperangan seperti di Syria dan Palestin yang mana setiap pendakian kami ke puncak tertinggi dunia KJA mempromosikan kempen ‘Climb For Peace’ (Pendakian Demi Keamanan). Ia bagi menyuarakan keinginan dan hasrat pendaki di peringkat antarabangsa bagi mempromosikan kedamaian ke seluruh dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 1:23 PM