NOORLIN. FOTO Arkib NSTP
NOORLIN. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Apendy Issahak


“KELUARGA masih menunggu jawapan siapa penyangak sebenar yang bertanggungjawab dan kenapa pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak hingga mengorbankan nyawa ahli keluarga kami,” kata Noorlin Mohd Noor, 52.

Noorlin yang lebih mesra dipanggil Dolly adalah adik bongsu kepada Allahyarham Norahimah Mohd Noor, 67, seorang daripada penumpang MH17 yang terkorban dalam tragedi menggemparkan dunia itu.

Menurutnya, setakat ini dia tidak mendapat apa-apa maklumat lanjut mengenai siasatan tragedi berkenaan yang dijalankan Pasukan Penyiasat Bersama (JIT).

“Saya mungkin akan mengikuti siaran langsung sidang media yang dijadual diadakan kira-kira 7 malam ini oleh JIT di Belanda melalui YouTube.

“Harap ada perkembangan terbaru terutama mengenai siapa yang bertanggungjawab dan kenapa pesawat berkenaan ditembak,” katanya ketika dihubungi dari Ipoh, hari ini.

Noorlin yang kini menetap di Brunei berkata, sudah hampir lima tahun tragedi itu berlaku, namun hingga kini masih tiada jawapan mengenai mengapa pesawat terbabit ditembak hingga mengorbankan ratusan nyawa termasuk arwah kakaknya.

Sementara itu, berkongsi mengenai perkembangan terbaru tragedi berkenaan, Noorlin berkata pada hujung Ramadan lalu, dia dihubungi pihak media dari Moscow, Russia yang membuat dokumentari mengenai tragedi itu dan ingin menemubualnya.

“Saya berkesempatan beraya di Ipoh dan pulang beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu dan dihubungi pihak media berkenaan yang datang ke Malaysia serta ingin menemubual keluarga kami termasuk merakam video di pusara kakak.

“Namun disebabkan keadaan lebuh raya yang sesak mereka tidak dapat hadir ke Ipoh dan hanya bertemu seorang lagi kakak saya di ibu negara,” katanya.

Menurutnya, media berkenaan juga dikatakan ada bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan difahamkan Dr Mahathir akan mengadakan perjumpaan dengan ahli keluarga mangsa, namun tidak dapat dipastikan bila.

Dalam kejadian 17 Julai 2014, pesawat MH17 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di kawasan bergolak di timur Ukraine dan membunuh semua 283 penumpang serta 15 anak kapal.

JIT dijadualkan akan mengadakan sidang media di Belanda hari ini mengenai perkembangan siasatan tragedi berkenaan pada 1 tengah hari waktu tempatan atau 7 malam waktu Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 4:34 PM