HAZIQ (kiri) dibebaskan dengan jaminan polis di IPD Dang Wangi, Sabtu lalu. FOTO Hafiz Sohaimi
HAZIQ (kiri) dibebaskan dengan jaminan polis di IPD Dang Wangi, Sabtu lalu. FOTO Hafiz Sohaimi
Mohd Azam Shah Yaacob


POLIS tiada alasan untuk menyekat pasport milik Haziq Abdullah Abdul Aziz iaitu individu terbabit video seks luar tabii dua lelaki yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, ia susulan individu berkenaan sudah memberi kerjasama penuh kepada polis berhubung siasatan terhadap video seks itu dan tidak mempunyai sebab untuk melarikan diri.

Beliau berkata, persoalan sama ada Haziq cuba melarikan diri ke luar negara sebelum ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 6 petang Jumaat lalu, bukan satu isu.

“Persoalan sama ada dia (Haziq) ingin melarikan diri ke luar negara ketika itu adalah tidak penting sebabnya selepas ditahan, dia sudah memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis.

“Kami (polis dan Haziq) sudah mencapai persetujuan untuk bekerjasama. Jadi tiada alasan untuk polis untuk menyekatnya,” katanya dalam sidang media ketika Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Pada majlis itu, Mazlan menyaksikan serah terima tugas dan tongkat kuasa jawatan berkenaan yang sebelum ini dipangku Timbalan Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Saiful Azly Kamaruddin kepada Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad yang sebelum ini menjawat jawatan Ketua Polis Pahang.

Turut diadakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 52 pegawai kanan dan anggota PDRM.

Mazlan berkata, polis sudah merakam 21 keterangan dan menerima 17 laporan berhubung siasatan terhadap video seks membabitkan salah seorangnya mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu.

Beliau berkata, bagi menyiasat kes itu polis menubuhkan pasukan khas terdiri daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman diketuai Pengarahnya, Datuk Huzir Mohamed selain bekerjasama dengan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Buat masa ini, siasatan masih diteruskan dan sehingga kini sebanyak 21 keterangan direkodkan serta 17 laporan diterima polis sejak Selasa lalu.

“Malah siasatan terhadap Mohamed Azmin sedang dalam tindakan dan on going (sedang berjalan),” katanya.

Pada 6 petang Jumaat lalu, Haziq ditahan sepasukan pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di Terminal Pelepasan Antarabangsa KLIA.

Pemeriksaan polis mendapati Haziq ketika itu sedang menunggu penerbangan untuk ke Manila, Filipina.

Haziq ditahan mengikut empat seksyen iaitu Seksyen 292 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 504 KK, Seksyen 377B KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Bagaimanapun, Haziq dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 5.45 petang, kelmarin selepas selesai merekodkan keterangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 5:01 PM