FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

SUDAHLAH tidak berjaya mendapatkan pinjaman berjumlah RM30,000, seorang penyelia terpaksa pula menanggung kerugian RM3,110 kerana diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada 31 Mei lalu lelaki berusia 29 tahun terbabit tertarik dengan iklan pinjaman wang ketika melayari laman sosial berkenaan.

Katanya, mangsa kemudiannya menghubungi nombor yang tertera sebelum berurusan dengan seorang individu dikenali sebagai Angel.

“Hasil perbincangan, mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM30,000, namun dia diminta membayar RM3,110 kononnya untuk bayaran guaman.

“Mangsa membuat empat transaksi pindahan wang ke dalam beberapa akaun bank pada 6 Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun katanya, mangsa masih tidak memperoleh wang pinjaman berkenaan dan menyedari dirinya ditipu.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Jerantut semalam.

Mohd Wazir berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 4:33 PM