FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Muhd Amirul Faiz Ahmad


HOSPITAL Umum Sarawak (HUS), Kuching memerlukan sumbangan orang ramai apabila kini mengalami penyusutan bekalan darah jenis O.

HUS dalam kenyataannya berkata, kerjasama orang ramai untuk menderma darah jenis berkenaan sangat dialu-alukan berikutan musim perayaan, selain memastikan darah jenis itu sentiasa berada pada tahap mencukupi.

“Kekurangan ini disebabkan beberapa faktor antaranya peningkatan kes kecemasan menjelang musim perayaan, selain peningkatan penggunaan jenis darah O dalam rawatan.

“Tambahan pula, sepanjang bulan puasa, kadar pendermaan dari penderma Muslim menurun dengan ketara atas faktor kekangan masa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, pihak HUS mengharapkan bantuan daripada penderma bukan Muslim yang cukup tempoh pendermaan tampil menderma di HUS sendiri atau di kempen derma darah bergerak.

“Pada 2 Jun 2019 (Ahad) dan 3 Jun 2019 (Isnin), pasukan kami akan berada di Tingkat 2, AEON Mall bermula jam 10 pagi hingga 3 petang.

“Kami juga akan beroperasi pada Hari Raya kedua, bermula jam 8 pagi hingga 1 petang di Tabung Darah HUS,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 12:28 PM