ANTARA buaya yang ditemui dalam serbuan di Kampung Pasir Putih, Tawau, semalam. FOTO ihsan JHL Sabah
ANTARA buaya yang ditemui dalam serbuan di Kampung Pasir Putih, Tawau, semalam. FOTO ihsan JHL Sabah
Mohd Izham Unnip Abdullah


JABATAN Hidupan Liar (JHL) Sabah tidak menolak kemungkinan wujud sindiket menyeludup buaya dari negara jiran ke negeri ini berikutan penemuan 220 buaya di kawasan hutan bakau di Kampung Pasir Putih, Tawau, semalam.

Pengarahnya Augustine Tuuga berkata, pihaknya sedang menyiasat secara terperinci kes penemuan buaya disimpan dalam guni dari Indonesia itu untuk mengetahui tujuan dan dalangnya selain sejak bila kegiatan berkenaan dijalankan.

“Ia adalah rampasan pertama kes penyeludupan buaya di Sabah setakat ini tetapi kita tidak tahu mungkin sebelum ini sudah ada kegiatan seperti ini, cuma tidak dikesan.

“Berikutan itu, kita akan menyiasat kes ini untuk mengetahui semua itu sebagai langkah untuk mengekang kegiatan berkenaan daripada berterusan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, JHL bersama anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menemui dan merampas 215 buaya hidup dan lima buaya mati dalam operasi di kawasan bakau di Kampung Pasir Putih, Tawau.

Reptilia terbabit dipercayai baru tiba dari negara jiran dan dibawa masuk secara tidak sah menggunakan bot oleh empat suspek, masing-masing dua warga tempatan dan Indonesia.

Kes itu disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.

Mengulas lanjut, Augustine menolak kemungkinan haiwan dilindungi itu dibawa masuk untuk dijadikan makanan eksotik, sebaliknya percaya ia dijual di ladang ternakan buaya di seluruh negeri.

“Kemungkinan besar buaya itu dijual di ladang buaya yang ada di negeri ini dan diternak untuk mendapatkan kulitnya, bukan untuk makanan eksotik,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan terperinci berkaitan kes itu setelah siasatan menyeluruh siap kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 12:26 PM