DUA lelaki yang menikmati makanan di gerai tepi jalan di Senawang ditahan. FOTO Mohd Amin Jalil
DUA lelaki yang menikmati makanan di gerai tepi jalan di Senawang ditahan. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


DUA lelaki tempatan yang ‘selamba’ menikmati juadah di gerai di Senawang dicekup anggota penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), hari ini.

Dalam Op Puasa dijalankan 10.30 pagi, pemilik gerai yang juga lelaki Indonesia berusia 30 tahun juga ditahan kerana bersekongkol.

Penolong Pengarah Operasi Bahagian Penguatkuasa JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat mengatakan gerai itu dibuka untuk ‘kaki ponteng puasa’ membeli makanan.

Katanya, selain menjual nasi, gerai yang ditutupi kain kanvas berwarna biru turut menyediakan meja untuk pelanggan makan di premis itu.

“Kehadiran lima anggota kami mengejutkan dua lelaki tempatan berusia 20-an. Sebaik tiba, mereka didapati menjamah nasi berlaukkan ikan keli masak berlada bersama teh o ais,” katanya.

Ahmad Zaki berkata, dua pelanggan lelaki dan pemilik premis kerana menyalahi undang-undang Islam di negeri ini.

“Pelanggan akan disiasat mengikut seksyen 114 (2) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 manakala peniaga mengikut Seksyen 114 (1) enakmen yang sama. Mereka berdepan denda antara RM500 hingga RM1,000 atau penjara tiga hingga enam bulan,” katanya.

Beliau berkata, tiga lelaki itu akan diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi ini akan diteruskan dengan kami mengenalpasti beberapa gerai yang menjual makanan kepada mereka yang tidak berpuasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 3:05 PM