LAMBAKAN ikan kembung di kawasan Kuala Muda, semalam. FOTO Nor Farhani Che Ad
LAMBAKAN ikan kembung di kawasan Kuala Muda, semalam. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


PERSATUAN Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) bersedia membeli sekurang-sekurang 50 tan ikan kembung atau pelaling setiap hari bagi mengelak berlaku masalah lambakan ikan di Kedah.

Pengerusinya, Abdul Hamid Bahari berkata, ia berikutan situasi yang sedang dihadapi oleh nelayan di perairan utara Semenanjung yang dikatakan turut menjejaskan pendapatan mereka.

“NEKMAT dan persatuan nelayan lain akan bekerjasama menangani isu lambakan ikan terbabit bagi memastikan harga ikan itu tidak turun secara mendadak sehingga menjejaskan pendapatan nelayan.

“Ikan segar berkenaan dijangka akan dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hamid berkata, NEKMAT juga menetapkan ikan kembung dijual pada harga sekurang-kurangnya RM1 sekilogram (kg).

Menurutnya, pihaknya boleh menyejuk beku ikan berkenaan dengan menggunakan teknologi ‘Individual Quick Freezing’ atau IQF sebagai simpanan untuk kegunaan musim kekurangan bekalan.

Katanya, dua Pusat Pengumpulan dan Pengedaran (CCDC) di Kuala Kedah dan Sungai Petani juga berupaya menyimpan 650 tan hasil laut untuk kegunaan ketika musim terbabit.

“Kita juga bercadang mengeksport ikan itu ke Thailand dan Indonesia berikutan mendapat permintaan tinggi dari negara berkenaan.

“Langkah mengeksport ikan ini dipersetujui oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk membantu menstabilkan harga ikan,” katanya.

Media semalam melaporkan kira-kira 200 nelayan di Kuala Muda, Sungai Petani resah apabila berlaku lambakan ikan berkenaan yang bersaiz kecil sejak dua minggu lalu.

Situasi itu menyebabkan harga ikan itu di kawasan terbabit jatuh sehingga 70 sen sekilogram sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan.

Berita berkaitan:

  • Lambakan ikan resahkan nelayan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 3:24 PM