Antara individu yang ditahan dalam serbuan polis di Pasar Borang Selayang, semalam. Foto Norizuan Shamsuddin.
Antara individu yang ditahan dalam serbuan polis di Pasar Borang Selayang, semalam. Foto Norizuan Shamsuddin.
Norizuan Shamsuddin


POLIS menahan 13 individu termasuk seorang penjaga tapak gerai haram disyaki terbabit dalam aktiviti pemerasan hasil serbuan di Pasar Borong Selayang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9 ) Bukit Aman bermula 7.15 malam.

“Serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat diperolehi berhubung kegiatan pemerasan dan peniaga gerai haram di pasar borong berkenaan.

“Hasil serbuan kita menahan 13 individu termasuk seorang lelaki berusia 49 tahun disyaki terbabit dengan aktiviti pemerasan.

“Seramai 12 individu lagi adalah peniaga membabitkan enam warga tempatan termasuk seorang wanita dan selebihnya adalah warga asing membabitkan warga Myanmar serta Bangladesh,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Rusdi berkata, semua suspek berusia 17 hingga 57 tahun terbabit sudah direman bagi siasatan lanjut.

“Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 4:44 PM