MOHD Zawawi memeriksa perbarisan dalam Majlis Perhimpunan Setia Khas sempena Sambutan Hari JPJ Ke-73 peringkat negeri. FOTO Effendy Rashid
MOHD Zawawi memeriksa perbarisan dalam Majlis Perhimpunan Setia Khas sempena Sambutan Hari JPJ Ke-73 peringkat negeri. FOTO Effendy Rashid
Mohd Hafizee Mohd Arop


PENGARAH Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohd Zawawi Zakaria, sebak ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Perhimpunan Setia Khas sempena Sambutan Hari JPJ Ke-73 Peringkat Negeri di Ibu Pejabat JPJ Perak di Ipoh, hari ini.

Mohd Zawawi kelihatan sebak di akhir ucapan ketika meminta semua pegawai dan anggota JPJ negeri menjaga nama baik jabatan dan terus mengekalkan integriti serta tidak terpalit dengan skandal rasuah.

Ia adalah ucapan terakhirnya sebagai Pengarah JPJ Perak apabila akan bertukar jawatan dengan Timbalan Setiausaha Bahagian (TSUB) Logistik dan Pengangkutan Darat Kementerian Pengangkutan, Severinus Tukah, Isnin ini.

“Saya minta semua pegawai dan anggota terus mengekalkan integriti dalam menjaga nama baik jabatan dan jangan sesekali terbabit masalah integriti kerana ia akan merosakkan nama baik sendiri dan jabatan,” katanya.

Ucapan Mohd Zawawi itu jelas merujuk kepada 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang yang direman SPRM dalam fasa pertama siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terbabit rasuah.

SPRM turut memanggil 22 pegawai JPJ lagi untuk memberi keterangan dan lima daripadanya direman pada fasa kedua sebelum tiga lelaki termasuk dua penguat kuasa JPJ direman tujuh hari.

Harian Metro pada 17 April lalu melaporkan sebahagian besar anggota penguat kuasa JPJ Pulau Pinang dikesan mengutip wang rasuah daripada pemilik syarikat lori untuk diberi kepada pegawai atasan mereka bagi tujuan berhibur.

Malah, pada masa sama anggota terbabit juga menggunakan wang itu untuk perbelanjaan peribadi selain menampung aktiviti hiburan pegawai atasan yang datang ke negeri ini atas sesuatu tugasan.

Dalam pada itu, dalam majlis berkenaan, Mohd Zawawi turut menyampaikan anugerah khas kepada tujuh kakitangan JPJ Perak dan sijil penghargaan kepada 13 agensi.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, sepanjang 73 tahun usia jabatan itu, sudah pasti pelbagai dugaan dan rintangan dihadapi sebagai pihak yang menguatkuasakan hal ehwal pengangkutan jalan di negara ini.

“Peranan JPJ sangat penting dalam mendukung aspirasi mencapai Wawasan 2020 dan JPJ hendaklah sentiasa pantas bertindak dalam memberikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 12:48 PM