Hairulazim Mahmud


SESI Pendengaran Awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis dimulakan 9.30 pagi ini.

Pengerusi RCI Tun Arifin Zakaria dalam ucapan pembukaannya berkata, terma rujukan suruhanjaya ialah meneliti semua dokumen dan bukti berkaitan kes penemuan kem penempatan sementara serta kubur di Wang Kelian, Perlis dan menyiasat kejadian penemuan berkenaan.

“Selain itu, RCI terbabit berperanan menyiasat prosedur ketika dan selepas kejadian yang dilaksanakan pihak berkuasa serta menjalankan siasatan (inkuiri) terhadap pegawai penyiasat, saksi dan mana-mana individu difikirkan perlu,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengerusi RCI yang juga bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai.

Ahli lain ialah bekas Ketua Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Noorbahri Baharuddin; Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Tan Sri Razali Ismail dan bekas Ketua Penyelidik, Jabatan Peguam Negara, Datuk Junaidah Abdul Rahman.

Selain itu ahli RCI ialah bekas Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussin dan bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw.

Arifin berkata, RCI itu juga berperanan menyiasat sama ada penambahbaikan sudah dilaksanakan terhadap prosedur penguatkuasaan selepas kejadian dan mengenal pasti implikasi terhadap negara selepas kejadian termasuk dari segi imej, hubungan bilateral serta hak asasi.

“RCI ini turut berperanan mengesyorkan tindakan dan penambahbaikan yang boleh diambil kerajaan sebelum mengemukakan laporan siasatan suruhanjaya kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Arifin dalam pada itu menyeru mana-mana individu atau pertubuhan bukan kerajaan atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu tampil dan berhubung dengan urus setia.

“Boleh berhubung dengan merujuk portal RCI Wang Kelian di laman sesawang Kementerian Dalam Negeri,” katanya.

Saksi pertama yang dipanggil ialah Koperal Mat Ten dari Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 11:57 AM
Tun Arifin pada sesi pendengaran awam RCI di Putrajaya hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Tun Arifin pada sesi pendengaran awam RCI di Putrajaya hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor