KEADAAN kereta Perodua Myvi berwarna kuning dinaiki mangsa yang terbabas ke dalam gaung sedalam 400 meter. (Gambar kanan) Anggota bomba mengusung mangsa naik ke atas jalan. FOTO ihsan bomba.
KEADAAN kereta Perodua Myvi berwarna kuning dinaiki mangsa yang terbabas ke dalam gaung sedalam 400 meter. (Gambar kanan) Anggota bomba mengusung mangsa naik ke atas jalan. FOTO ihsan bomba.
Muhammad Apendy Issahak


SEORANG lelaki maut manakala lima lagi termasuk bayi cedera selepas kereta dinaiki terbabas dan terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 25, Jalan Cameron Highlands-Tapah, Cameron Highlands, petang semalam.

Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa maut selepas terperangkap dalam kereta Perodua Myvi dinaiki bersama lima yang lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands, Mohd Hilmi Kashfi Mat Zali yang mengetuai operasi menyelamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 4.05 petang.

“Apabila sampai di lokasi, kami dapati kemalangan membabitkan kereta Perodua Myvi berwarna kuning yang terbabas ke dalam gaung sedalam 400 meter.

“Terdapat enam mangsa iaitu seorang lelaki dewasa terperangkap dalam kereta dan seorang lagi tercampak keluar dari kereta berkenaan manakala empat mangsa lain (tiga wanita dan seorang bayi) berjaya diselamatkan orang awam,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya menggunakan sistem ikatan menyelamat dan dua pengusung untuk menaikkan mangsa yang terperangkap dan tercampak keluar dari kereta berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua mangsa berjaya dibawa naik dan mangsa cedera diserahkan kepada pihak hospital manakala mangsa meninggal dunia kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi dijalankan BBP Ringlet dengan dibantu BBP Cameron Highlands dan BBP Tapah itu tamat pada 5.58 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 12:22 AM