SHAFIQ Izwan (kanan) melihat resit transaksi yang ditunjukkan mangsa penipuan.
SHAFIQ Izwan (kanan) melihat resit transaksi yang ditunjukkan mangsa penipuan.
Amir Abd Hamid


TINDAKAN seorang lelaki mahu menyelesaikan masalah senarai hitam Credit-Tip-Off (CTOS) dengan meminjam daripada syarikat pemberi pinjam wang yang mengiklankan perkhidmatan menerusi Facebook (FB) mengundang padah apabila dia menjadi mangsa scam.

Bukan saja tidak mendapat wang pinjaman kononnya diluluskan hingga RM36,000 malah mangsa yang juga anggota keselamatan melakukan lima kali pembayaran membabitkan jumlah keseluruhan RM7,520 sebagai syarat sebelum wang pembayaran pinjaman diberikan.

Mangsa hanya mahu dikenali sebagai Nor, 30-an, berkata, dia terbaca iklan di FB mengenai sebuah syarikat yang memberikan pinjaman walaupun prospek si peminjam mempunyai masalah CTOS atau Centre Credit Reference Information System (CCRIS).

“Lebih meyakinkan apabila saya baca iklan di FB itu, syarikat itu mendakwa diiktiraf Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank komersial.

“Saya tanpa berlengah menghantar butiran diri di ruangan komen peribadi syarikat itu termasuk nama, pengenalan diri, nombor telefon dan alamat.

“Keesokannya seorang wanita menghubungi saya mengenai minat saya mahu membuat pinjaman peribadi. Saya akui dan mengatakan terdesak untuk selesaikan masalah senarai hitam CTOS. Dia mengatakan tiada masalah dan meminta saya menghantar salinan slip gaji dan MyKad, saya akur,” katanya.

MANGSA  menunjukkan resit transaksi duit dibayar kepada along dan laporan polis.
MANGSA menunjukkan resit transaksi duit dibayar kepada along dan laporan polis.

Menurutnya, urusan itu hanya dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp kerana pihak syarikat pemberi pinjam wang itu mendakwa sememangnya segala urusan mudah dilakukan dengan aplikasi itu.

Nor berkata, beberapa minit selepas dia menghantar butiran MyKad dan slip gaji itu, syarikat berkenaan menghubunginya memberitahu pinjaman diluluskan sebanyak RM30,000.

“Namun dia minta wang pendahuluan RM480 untuk urusan dokumentasi dan kali pertama saya mula bayar kepada 8 Mac lalu. Kemudian pihak syarikat itu meminta wang lagi dengan pelbagai alasan.

“Antaranya untuk insurans wang yang dipinjam, pelepasan CTOS, pengesahan kemasukan dokumen untuk meminjam dan menaikkan jumlah pinjaman kepada RM36,000.

“Lima kali saya diminta bayar iaitu RM480, RM680, RM1,500, RM2,160 dan RM2,700 sebelum talian syarikat itu gagal untuk dihubungi lagi.

“Saya lihat paparan iklan syarikat itu di FB dinya haktif,” katanya.

Nor yang buntu mendapatkan khidmat nasihat Kelab Generasi Patriot Malaysia (GenPatriot).

Presiden GenPatriot, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos berkata, pihaknya membawa mangsa membuat satu laporan di Balai Polis Bukit Indah, Ampang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 8:00 AM