FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SEORANG penganggur dipenjara 54 bulan oleh Mahkamah Majistret di Seremban, hari ini, atas empat pertuduhan menipu seorang lelaki berkaitan pendaftaran syarikat, dua bulan lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Nur Atiqah Sapari selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdaya Muhammad Najib Mor Mohamed, 35, untuk mendaftarkan syarikat sebagai kontraktor Lembaga Pembangunan Pembinaan Malaysia (CIDB), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan PETRONAS membabitkan kerugian RM12,250.

Perbuatan dilakukan di empat lokasi berasingan di Seremban, Melaka dan Rembau antara 17 hingga 29 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mas Syafiqah Mahroob, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 5:29 PM