ANTARA balak jenis kasai yang ditebang tanpa lesen di Hutan Simpan Lentang. FOTO Mohd Rafi Mamat
ANTARA balak jenis kasai yang ditebang tanpa lesen di Hutan Simpan Lentang. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


TINDAKAN lelaki warga Vietnam berusia 43 tahun menebang dan membelah balak tanpa lesen mengundang padah apabila diberkas anggota penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong di Hutan Simpan Lentang, di Bentong, kelmarin.

Turut dirampas bersama lelaki berkenaan sebuah motosikal, mesin gergaji berantai dan beberapa peralatan membelah kayu yang digunakan untuk melakukan aktiviti terbabit.

Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, siasatan mendapati lelaki berkenaan menebang tujuh balak jenis kasai secara berperingkat dengan nilai kerugian lebih RM35,000.

Katanya, pemeriksaan di kawasan terbabit menemui tujuh tunggul pokok jenis kasai dan lelaki terbabit melakukan aktiviti membelah balak dalam kawasan hutan simpan itu.

“Lelaki terbabit akan didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana berada dalam hutan simpan dan menebang pokok tanpa lesen, sabit kesalahan didenda hingga RM50,000 atau lima tahun penjara atau keduanya sekali.

“Jabatan tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan kesalahan terutama membabitkan kegiatan menceroboh hutan simpan dan memindahkan balak tanpa lesen,” katanya, di sini, hari ini.

Sementara itu Mohd Hizamri berkata, mahkamah Temerloh minggu lalu menjatuhkan hukuman denda RM111,000 terhadap lapan lelaki termasuk dua warga Indonesia yang melakukan kesalahan menceroboh dan memindahkan hasil hutan tanpa lesen di Hutan Simpan Berkelah, Maran.

Beliau berkata, sebagai tambahan semua pesalah perlu membayar sebanyak RM20,000 kepada Pihak Berkuasa Negeri di atas kerosakan hutan yang berlaku manakala dua warga Indonesia dikenakan penjara lapan bulan bermula tarikh ditahan.

“Hukuman berat yang dikenakan kepada lapan individu berkenaan diharap menjadi pengajaran kepada pihak lain yang cuba melakukan aktiviti menceroboh hutan simpan dan memindahkan balak tanpa lesen.

“Kita sudah mengarahkan anggota penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah dan negeri supaya melakukan pemantauan di semua kawasan hutan yang sering menjadi sasaran sindiket mencuri balak di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 11:01 AM