Shamsul Munir Safini


LELAKI dengan 28 rekod jenayah lampau dan bekas isterinya antara tiga individu yang diberkas polis kerana terbabit dalam beberapa kejadian samun di Pulau Pinang.

Mereka diberkas polis dalam dua serbuan berasingan susulan penahanan dua lelaki di Kota Permai, Bukit Mertajam Selasa lalu.

Dalam kejadian 6 petang itu, dua lelaki berusia 27 dan 35 tahun yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan diberkas polis di Batu 5 Jalan Persiaran Kota Permai.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pegawai dan anggotanya yang memeriksa kedua-dua suspek kemudian menemui satu beg galas hitam dipegang suspek pertama.

Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui satu unit telefon bimbit, satu bekas plastik lut sinar di dalamnya mengandungi seutas rantai leher emas dan sekeping resit pembelian emas.

“Pemeriksaan ke atas badan suspek menemui sebuah telefon bimbit.

“Motosikal dinaiki suspek juga menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat suspek mengaku menyamun rantai emas milik seorang wanita di Jelutong awal bulan lalu sebelum menyerahkan barang kemas itu kepada bekas isterinya untuk dijual.

Katanya, suspek ketiga yang juga bekas isteri salah seorang lelaki itu menjual barang kemas itu RM5,200 selepas diminta bekas suaminya.

“Susulan itu, polis menahan wanita berusia 31 tahun berkenaan di Berapit, sebelum merampas sekeping resit jualan rantai atas namanya.

“Polis juga merampas wang tunai RM2,763 daripada semua suspek,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek ditahan polis berkaitan kejadian samun di Jelutong, Georgetown dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 4:14 PM