LAPORAN pencemaran gas metana di Pasir Gudang, Johor Bahru di portal Harian Metro.
LAPORAN pencemaran gas metana di Pasir Gudang, Johor Bahru di portal Harian Metro.
Mohd Sabran Md Sani


SERAMAI 26 daripada 35 individu masih mendapatkan rawatan selepas terhidu tumpahan gas kimia di sungai berdekatan dua sekolah di Taman Pasir Puteh, Pasir Gudang, Johor Bahru, hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, 26 mangsa itu masih dirujuk di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru sehingga 5 petang ini.

Menurutnya, mangsa yang dirujuk ke HSI itu membabitkan 16 pelajar dan 10 dewasa.

“Lima daripadanya masih dirawat di Unit Kecemasan, manakala 21 lagi dimasukkan ke dalam wad.

“Tiga yang dirawat (di Unit Kecemasan) dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), namun mangsa dalam keadaan stabil.

“Mangsa juga membabitkan kakitangan kesihatan (empat dari HSI dan seorang dari Klinik Kesihatan),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Selahuddeen berkata, JKN Johor akan terus bekerjasama dengan semua agensi yang terbabit dalam memastikan kesihatan dan keselamatan penduduk terjaga.

“Kami akan mengeluarkan tanda amaran kepada klinik dan hospital, sama ada kerajaan mahupun swasta, bagi melaporkan kes yang mempunyai gejala pedih mata, sakit dada, sesak nafas, serta disyaki terhidu dan terdedah kepada bahan kimia terbabit.

“Pemantauan akan diteruskan sehingga tiada kes yang dilaporkan,” katanya.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor menasihatkan kepada orang awam untuk mengelakkan diri dari memasuki dan berada di kawasan kejadian.

Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan sebarang aktiviti termasuk aktiviti riadah berdekatan kawasan Sungai Kim Kim Pasir Gudang sehingga arahan seterusnya.

Berita berkaitan

Pencemaran gas: Sekolah tutup tiga hari

'Oil boom' halang gas metana merebak

Gas kimia: 1,400 pelajar diminta kosongkan sekolah

[UPDATE] 8 kritikal terhidu gas metana

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 9:00 PM