Balqis Jazimah Zahari


BEBERAPA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menanam 10,000 pokok di tanah yang diteroka secara haram berhampiran Bukit Kledang di Ipoh.

Jurucakap NGO terbabit yang juga Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, cadangan itu sebagai langkah jangka panjang dalam mempercepat usaha memulihara semula kawasan seluas 10 hektar yang sudah terjejas akibat penerokaan haram.

“Kami berharap kerajaan negeri melakukan pemuliharaan jangka masa panjang di kawasan (yang sudah diceroboh) ini dengan melakukan penanaman semula pokok.

“Kami meminta agar satu program komuniti diadakan bersama penduduk setempat termasuk pemimpin untuk menanam kira-kira 10,000 pokok.

“Kami sanggup turun bersama-sama kerajaan negeri untuk menanam semula pokok dan memulihkan semula kawasan lereng bukit berkenaan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas membuat tinjauan bersama wakil dari Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Pejabat Menteri Besar Perak, SAM, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia (KUASA) dan Persatuan Pelindung Khazanah Alam Sekitar (PEKA) di kawasan berkenaan di sini, hari ini.

Meor Razak berkata, penanaman semula itu bagaimanapun tidak dilakukan sekali gus sebaliknya secara berperingkat kerana bilangannya yang banyak selain memastikan hanya spesies pokok hutan bersesuaian seperti meranti atau keruing sahaja ditanam.

Katanya, SAM berharap langkah seterusnya mewartakan kawasan itu sebagai sebahagian Hutan Simpan Kledang Saiong serta menjadi kawasan riadah untuk penduduk setempat dan menjadi satu daripada tarikan utama di bandar raya itu.

Beliau berkata, tinjauan di tapak berkenaan hari ini bertujuan meninjau perkembangan lanjut mengenai aktiviti pencerobohan bukit di situ dan kerja pemuliharaan lereng bukit yang sedang dijalankan.

“Sekarang kita nampak kerja pemuliharaan lereng masih lagi baru dan belum dapat melihat perbezaan, jadi kita berharap ia berterusan dan kami akan memantau dari masa ke semasa bagi memastikan kawasan ini hijau kembali,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan MB Inc mengesahkan berlaku penerokaan tanah secara haram berhampiran Bukit Kledang, di sini, bagi tujuan perladangan kelapa sawit.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin, dilaporkan berkata, tinjauan di kawasan berkenaan mengesahkan pencerobohan oleh peneroka haram berhampiran Bukit Kledang yang berkeluasan hampir 10 hektar itu turut membabitkan sebahagian dari tanah milik syarikat milik kerajaan negeri itu.

Akhbar kemudian melaporkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri sudah mengarahkan peneroka haram terbabit untuk membaiki semula struktur tanah bagi mengelakkan sebarang hakisan cerun di kawasan berkenaan.

Melalui kenyataan akhbar sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes penerokaan haram berhampiran Bukit Kledang di Ipoh, susulan laporan polis oleh PSM terhadap kerajaan negeri berhubung isu pencerobohan tanah dan membiarkan pembersihan hampir 10 hektar hutan bagi penanaman kelapa sawit di kawasan bukit berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 7:01 PM
KAWASAN tanah yang diteroka secara haram berhampiran Bukit Kledang. FOTO Ihsan Sahabat Alam Malaysia
KAWASAN tanah yang diteroka secara haram berhampiran Bukit Kledang. FOTO Ihsan Sahabat Alam Malaysia