JABAR menanam pokok damar minyak.
JABAR menanam pokok damar minyak.
SEBAHAGIAN peserta gotong-royong membabitkan agensi kerajaan.
SEBAHAGIAN peserta gotong-royong membabitkan agensi kerajaan.
Mohamad Hussin

Jabatan Pertanian (DOA) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mengadakan program Pemuliharaan Tanah Bercerun di Hutan Simpan Terla, Cameron Highlands, baru-baru ini.

Program itu turut mendapat kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands serta Humibox Sdn Bhd.

Antara aktiviti dijalankan ialah gotong-royong menanam semula pokok damar minyak, rumput vetiver dan tanaman kekacang penutup bumi di kawasan tanah bercerun.

Program itu diadakan bagi penghijauan semula kawasan untuk mengelak kejadian hakisan dan tanah runtuh. Aktiviti ini antara aktiviti Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) disarankan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ia susulan akibat kejadian banjir kilat dan tanah runtuh pada tahun 2014. Bencana itu menyebabkan beberapa kerosakan harta benda serta mengorbankan nyawa.

Berikutan itu, DOA mengambil inisiatif mengadakan beberapa siri pemuliharaan tanah bercerun di kawasan berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) DOA Datuk Jabar Shaik Mohideen berkata, pihaknya memainkan peranan penting itu disebabkan penerokaan secara haram oleh pengusaha sektor pertanian.

Beliau berkata, kawasan tanah kerajaan dan hutan simpan kekal tidak boleh diteroka tanpa kebenaran.

“Akibat penerokaan haram ini, timbul masalah hakisan dan tanah runtuh yang menjejaskan ekosistem persekitaran di Cameron Highlands.

“Kami menggalakkan pengusaha sektor pertanian mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) di atas tanah yang diberi kebenaran oleh kerajaan.

“Dalam APB terdapat lima prinsip teras yang perlu dipatuhi iaitu pengurusan tapak, pengurusan agronomi, pengurusan rekod tanaman, pengurusan alam sekitar dan pengurusan sumber manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program berkenaan. Hadir sama Pengarah Bahagian Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Tanah Zabidi Dun.

Menurutnya, DOA berterima kasih kepada semua agensi di bawah MKN yang melaksanakan program pemuliharaan dan penghijauan semula di Cameron Highlands.

“DOA akan terus melaksanakan beberapa siri aktiviti pemuliharaan ini pada masa akan datang dan sentiasa memberi khidmat nasihat serta teknikal kepada pengusaha sektor pertanian supaya sentiasa mengamalkan APB.

“Kami akan lebih giat menganjurkan aktiviti seperti ini di kawasan tanah bercerun di seluruh Malaysia,” katanya.

Pada program itu, agensi terbabit menanam semula pokok hutan dan pemuliharaan tanah bercerun seluas 0.4 hektar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 11:16 AM