Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


AKIBAT dendam lama menyebabkan lelaki dipukul sehingga mati sementara rakannya pula parah selepas mereka diserang dua lelaki di taman permainan Taman Makmur, Lunas, Kulim semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 7.40 malam daripada Hospital Kulim memberitahu terdapat pergaduhan menyebabkan salah seorang mangsa tidak sedarkan diri.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian mendapati mangsa yang dibunuh, P Manimaran, 38, bekerja menjual besi buruk terbaring dalam keadaan berlumuran darah di kepala.

“Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati ada kesan luka di kepala dan belakang tangan kiri sementara rakannya, S Gopala Kirusnan, 39, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan parah di kepala.

“Pasukan forensik turut menemui kesan darah di beberapa tempat di taman permainan itu dan satu batang kayu bersama dua topi keledar dan sepasang selipar turut ditemui dengan kesan darah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mior Faridalthrash berkata, mangsa dipercayai diserang suspek dengan kayu dan topi keledar yang ditemui kesan darah itu ketika berbual di taman permainan terbabit.

“Suspek melarikan diri dengan motosikal Honda EX5 hitam selepas menyerang mangsa dipercayai akibat dendam lama.

“Kita sudah mengenal pasti suspek dan usaha memburu giat dijalankan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 4:35 PM