Chee Leong (dua dari kiri) menyampaikan risalah mengenai dadah kepada kadet penerbangan sambil diiringi Zulkifli (tengah) di Malaysia Flying Academy, Batu Berendam. FOTO Rasul Azli Samad
Chee Leong (dua dari kiri) menyampaikan risalah mengenai dadah kepada kadet penerbangan sambil diiringi Zulkifli (tengah) di Malaysia Flying Academy, Batu Berendam. FOTO Rasul Azli Samad
Fairuz Zaidan


AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) mahu ‘menghijaukan’ 33 lokasi panas najis dadah pada tahun ini daripada 178 kawasan berisiko tinggi (KBT) di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, agensi itu turut mewujudkan kod warna bagi mengkelaskan lokasi panas najis dadah iaitu merah, kuning dan hijau dalam usaha komprehensif memerangi penyalahgunaan dadah di peringkat akar umbi.

“Pada tahun ini, kita menyasarkan untuk menjadikan 33 KBT kepada warna hijau iaitu kriteria kes kurang daripada lima peratus, 117 KBT berwarna kuning manakala hanya 28 KBT berwarna merah.

“Berbanding tahun lalu, kita berjaya menjadikan hanya lima KBT berwarna hijau, 86 KBT berwarna kuning manakala 87 KBT berwarna merah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Institut Pendidikan Bebas Dadah di Malaysia Flying Academy (MFA), Batu Berendam, Melaka, hari ini.

Hadir sama Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Low Chee Leong dan Pengetua MFA Kapten Stephen Michael Terry.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, AADK sedang merangka modul baharu bagi memerangi dadah secara holistik dengan memfokuskan kepada kaedah pencegahan dan pendidikan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

“Usaha pencegahan di peringkat awal ini lebih murah dan berjaya meningkatkan kesedaran berhubung bahaya penyalahgunaan dadah.

“Di samping itu, kita mahu semua agensi berperanan menangani simptom gejala dadah termasuk mengaitkannya dengan isu sosio ekonomi, kemiskinan dan tekanan,” katanya.

Berdasarkan rekod AADK, golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun adalah kumpulan penagih dadah terbesar dengan seramai 85,575 orang atau 73.6 peratus.

Sementara itu, Chee Leong berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan AADK bagi memperluaskan kempen kesedaran anti dadah termasuk menganjurkan modul pendidikan anti dadah kepada syarikat swasta di negeri ini.

“Bagi tujuan itu, kita akan berbincang dengan AADK untuk memperluaskan lagi kempen ke syarikat sektor swasta selepas kejayaan program yang dianjurkan di institusi pengajian tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 7:22 PM