HAMID Sultan Abu Backer. FOTO Arkib NSTP
HAMID Sultan Abu Backer. FOTO Arkib NSTP
Zanariah Abd Mutalib


DUA pegawai polis dari Bukit Aman hari ini hadir ke kamar Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hamid Sultan Abu Backer, di Putrajaya bagi merekod keterangan beliau berhubung afidavit sokongan yang diikrarkannya mengenai salah laku hakim Mahkamah Rayuan dan Persekutuan.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah yang mewakili Hamid ketika ditemui media di Istana Kehakiman, hari ini.

Mohamed Haniff Khatri berkata, sesi merekod keterangan itu berlangsung selama satu jam 15 minit bermula 9 pagi, yang turut dihadiri beliau dan rakan sejawatnya, Datuk Joy W Appukuttan.

Katanya, ia susulan laporan polis yang dibuat Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan berhubung afidavit berkenaan pada 15 Februari lalu.

“Hakim Hamid hanya ditanya satu soalan berhubung kandungan afidavit berkenaan. Beliau bagaimanapun menegaskan pendiriannya yang beliau sedia bekerjasama dan memberi maklumat terperinci dalam forum yang sesuai iaitu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

“Disebabkan kerajaan sudah bersetuju untuk menubuhkan RCI, justeru yang terbaik untuk RCI bersidang dan beliau memberikan butiran lanjut pada RCI,” katanya.

Mohamed Haniff Khatri berkata, Peguam Negara, Tommy Thomas wajar menasihatkan pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menghentikan siasatan sementara menunggu RCI berkenaan bersidang.

Pada 15 Februari lalu, badan kehakiman membuat laporan polis berhubung pendedahan Hakim Hamid mengenai dakwaan campur tangan terbuka badan itu, membabitkan salah laku hakim Mahkamah Rayuan dan Persekutuan.

Pendedahan itu dibuat melalui afidavit sokongan yang diikrarkan sehari sebelumnya, dalam saman pemula difailkan anak mendiang Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo, terhadap Ketua Hakim Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 3:37 PM