Dr Mahathir ketika melawat pameran Jabatan Kastam Diraja Malaysia selepas Majlis Perasmian Kompleks Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Langkawi di Jalan Ayer Hangat, Langkawi, hari ini. FOTO Bernama.
Dr Mahathir ketika melawat pameran Jabatan Kastam Diraja Malaysia selepas Majlis Perasmian Kompleks Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Langkawi di Jalan Ayer Hangat, Langkawi, hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pengambilalihan konsesi lebuh raya di tempat lain akan dilaksanakan mengikut kemampuan kerajaan.

Beliau berkata, rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya di Lembah Klang adalah langkah pertama dilakukan kerajaan bagi menunaikan manifesto pada pilihan raya umum lalu.

Katanya, sejak mengambil alih kerajaan, Pakatan Harapan berfikir mengenai kaedah untuk menunaikan janji mereka.

“Kita tumpukan kepada yang mampu kita lakukan iaitu lebuh raya yang berada di Kuala Lumpur, tetapi kita akan perluaskan di tol tempat-tempat lain.

“Kita buat ikut kemampuan kita,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Kampungku Sihat Peringkat Kebangsaan di Pusat Khidmat Parlimen Langkawi, hari ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan kerajaan telahpun memulakan rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang syarikat itu mempunyai pegangan majoriti.

Menurut kenyataan, kerajaan berhasrat untuk memansuhkan mekanisme tol sedia ada apabila berjaya mengambil alih lebuh raya berkenaan.

Berdasarkan kenyataan itu, ‘congestion charge’ atau caj kesesakan akan diperkenalkan di mana pengguna akan hanya dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.

Mengulas mengenai rundingan dengan Gamuda Berhad, Dr Mahathir berkata, proses tersebut dilakukan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Kita bermula dengan beberapa tol sahaja kerana mengikut kemampuan kita… untuk membasmi atau menghentikan kutipan tol, kerajaan mesti beli jalan-jalan ini, akan menyebabkan belanja yang besar kepada kerajaan,” katanya.

Berita berkaitan

Cadang mansuh tol, ganti dengan caj kesesakan’

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 7:36 PM