PUSAT Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. FOTO Arkib NSTP
PUSAT Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

DUA pakar forensik yang memeriksa 11 daripada 23 mayat penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, yang maut dalam kebakaran tragis dua tahun lalu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sembilan daripada 11 mayat dalam keadaan terbakar dan rentung.

Pakar Perunding Perubatan Forensik Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Nurliza Abdullah berkata, beliau memeriksa dan melakukan bedah siasat ke atas enam mayat mangsa, manakala Pakar Perubatan Forensik Jabatan Perubatan Forensik HKL Dr Ahmad Hafizam Hasmi memeriksa lima mayat.

Baki mayat penghuni diperiksa dan dibedah siasat oleh pakar forensik lain.

Dr Nurliza, saksi pendakwaan ke-57 berkata, beliau ditugaskan melakukan pemeriksaan terhadap enam mayat itu pada 14 September 2017, iaitu hari kejadian, bermula jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati lima mayat dalam keadaan rentung manakala satu tidak rentung.

“Lima mayat dalam keadaan terbakar, rentung serta menunjukkan tanda tersedut asap yang ketara di dalam saluran pernafasan si mati.

“Sementara, satu lagi mayat dalam keadaan terbakar, tidak rentung serta turut menunjukkan tanda sama,” katanya pada perbicaraan kes dua remaja lelaki yang didakwa membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dua tahun lalu.

Dr Nurliza berkata demikian ketika pemeriksaan utama Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Mengulas lanjut, Dr Nurliza berkata, pemeriksaannya juga mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal lain pada keenam-enam mayat mangsa selain kecederaan berkaitan kebakaran.

Menjawab soalan Othman mengenai sebab kematian, Dr Nurliza berkata, keenam-enam mangsa mati akibat tersedut asap api kebakaran dan terdapat tanda kehitaman akibat asap atau jelaga yang terlekat pada saluran pernafasan mangsa.

Sementara, saksi pendakwaan ke-58, Dr Ahmad Hafizam pula memberitahu daripada lima mayat yang diperiksa dan dibedah siasat, seorang daripadanya masih dalam keadaan ‘sempurna’, manakala selebihnya dalam keadaan rentung.

“Sebab kematian empat mangsa adalah akibat kecederaan terbakar yang parah (rentung) dan tersedut asap, kecuali seorang mangsa yang sebab kematiannya akibat tersedut asap,” katanya.

Dua remaja lelaki yang ketika kejadian berusia 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara jam 4.15 dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Kedua-dua tertuduh yang kini berumur 18 tahun masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun. Namun, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Pada prosiding hari ini kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haijan Omar. Perbicaraan di hadapan Hakim Azman bersambung Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 6:06 PM