Mohd Hafizan hadir bagi inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib di Kompleks Mahkamah Shah Alam. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
Mohd Hafizan hadir bagi inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib di Kompleks Mahkamah Shah Alam. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli


SAKSI memberitahu Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini, kesan merah dan lebam pada kecederaan rusuk kanan Muhammad Adib Mohd Kassim dipercayai disebabkan objek tumpul.

Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Hafizan Nordin, 33, berkata, perkara itu dilihat berdasarkan andaiannya yang sebelum ini bertugas sebagai pembantu perubatan ATM.

“Saya terlihat ada kesan tompokan tidak sekata iaitu warna merah dan biru yang dirasakan bukan kayu tetapi seperti tangan atau tapak kasut keras,” katanya ketika menjawab soalan peguam Ahmad Taufiq Baharum yang mewakili keluarga Muhammad Adib.

AHMAD TAUFIQ : Ada tak nampak secara dekat DNA (asid deoksiribonukleik) jelas kesan merah itu?

MOHD HAFIZAN : Ya, ketika di tempat kejadian.

AHMAD TAUFIQ : Di tempat lain ada nampak tak?

MOHD HAFIZAN : Ada, di hospital.

AHMAD TAUFIQ : Tompok itu kesan dia macam mana?

MOHD HAFIZAN : Keseluruhannya tompok tak sekata, ada biru dan ada merah. Saya andaikan kesan itu bukan kayu keras.

AHMAD TAUFIQ : Ada perasan tak kesan tapak kasut?

MOHD HAFIZAN : Tak perasan.

Terdahulu, saksi sama berkata, dia diberi amaran oleh seorang perempuan India daripada memasuki kawasan rusuhan kerana bimbang dipukul pada malam kejadian insiden rusuhan itu pada 27 November 2018.

“Ketika itu, saya berada di tempat kejadian sebelum seorang lelaki India datang meminta bantuan menghantar seseorang ke hospital kerana cedera.

“Sebelum itu, saya mengisi minyak kereta Mitsubishi Storm milik saya di stesen minyak Caltex, berhampiran lokasi kejadian,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Zhafran Rahim Hamzah.

Katanya, ketika diberikan amaran itu, dia melihat beberapa lelaki sedang mengusung seseorang tetapi tidak dapat mengenal pasti siapa yang diusung itu.

ZHAFRAN : Apa berlaku?

MOHD HAFIZAN : Saya pergi ke arah mereka dan dengar seorang daripada mereka berkata, “tolong-tolong ada anggota bomba cedera.”

ZHAFRAN : Kamu ada nampak yang cedera?

MOHD HAFIZAN : Ya. Sebelum itu, ada perempuan India dalam 10 meter hingga 12 meter cakap, “adik-adik, jangan masuk, nanti kena pukul.”

ZHAFRAN : Bila?

MOHD HAFIZAN : Dua tiga langkah lepas turun kereta, ada perempuan India itu cakap.

ZHAFRAN : Kamu endahkan amaran itu tidak?

MOHD HAFIZAN : Saya 50-50 tapi sebab niat saya mahu bantu, jadi saya masuk terus.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

Prosiding inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 6:53 PM