FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nor Farhani Che Ad


SERAMAI 257 pekerja lelaki turut menjadi mangsa gangguan seksual di tempat kerja dalam tempoh lima tahun antara 2013 hingga 2017.

Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata, menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), daripada 1,218 kes, seramai 257 pekerja lelaki direkodkan menjadi mangsa gangguan seksual di tempat kerja berbanding 961 mangsa adalah pekerja wanita.

“Daripada jumlah itu juga, ia membabitkan 1,272 suspek iaitu 1,215 adalah lelaki dan selebihnya adalah suspek wanita.

“Daripada keseluruhan kes, 1,187 kes masih lagi dalam siasatan dan 31 kes sudah dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya ketika berucap pada Seminar Kaedah menghadapi gangguan seksual di tempat kerja khusus kepada penjawat awam di Dewan Jubli Perak, di Institut Tadbiran Awam Negara Wilayah Utara, di Sungai Petani, hari ini.

Hannah berkata, terdapat beberapa faktor menyebabkan ramai mangsa tidak melaporkan gangguan seksual di tempat kerja antaranya disebabkan mekanisme membuat laporan dan siasatan terhadap pesalah laku yang mengambil masa terlalu lama.

“Sedangkan mangsa terpaksa berdepan dengan pesalah laku di tempat kerja sepanjang tempoh siasatan dilakukan di tambah ada antara mangsa di bawah seliaan pesalah laku yang dibimbangi akan kehilangan pekerjaan.

“Ini menyebabkan mangsa mengalami trauma berganda termasuk kesan daripada rakan-rakan sekeliling di tempat kerja,” katanya.

Justeru, kementerian sedang menilai kajian impak dalam menggubal Akta Gangguan Seksual yang akan diperkenalkan berdasarkan garis panduan berkaitan isu itu.

“Mengikut garis panduan itu, kita meletakkan pengadu atau mangsa di bawah satu unit integriti supaya ia nampak lebih bebas untuk menyiasat di samping memendekkan tempoh siasatan.

“Kita juga bagi pilihan kepada pengadu sama ada mereka nak keluar daripada tempat itu (tempat kerja) semasa siasatan dilakukan atau nak kekal di situ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 2:30 PM