KETUA pasukan Red Bull Racing, Christian Horner. FOTO Agensi
KETUA pasukan Red Bull Racing, Christian Horner. FOTO Agensi
Agensi

Dubai: Ketua pasukan Red Bull Racing, Christian Horner dibebaskan daripada sebarang hukuman dan akan terus mengetuai pasukan itu menjelang perlumbaan Formula Satu (F1) di Dubai, hujung minggu ini.

Syarikat induk Red Bull Racing, Red Bull GmbH mengumumkan keputusan itu selepas menjalankan siasatan dalaman yang mendapati Horner tidak melakukan sebarang kesalahan termasuk tuduhan melakukan salah laku di tempat kerja terhadap seorang kakitangan wanita.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pasukan itu, Horner dibebaskan daripada sebarang tuduhan dan beliau akan terus bersama pasukan.

"Siasatan bebas terhadap dakwaan yang dibuat terhadap Horner telah selesai, dan Red Bull boleh mengesahkan bahawa rungutan itu telah ditolak.

"Pengadu mempunyai hak untuk merayu. Red Bull yakin bahawa penyiasatan itu adalah adil, ketat dan tidak berat sebelah.

"Laporan penyiasatan itu adalah sulit dan mengandungi maklumat peribadi pihak dan pihak ketiga yang membantu dalam siasatan, dan oleh itu kami tidak akan mengulas lanjut bagi menghormati semua yang berkenaan.

"Red Bull akan terus berusaha untuk memenuhi piawaian tempat kerja tertinggi," kata kenyataan itu.

Horner sebelum ini berulang kali menafikan tuduhan itu, malah beliau yakin dirinya tidak terbabit dengan sebarang salah laku seksual mahupun jenayah.

Terdahulu, syarikat induk Red Bull iaitu gergasi minuman Austria, melantik peguam luar untuk menggalas tanggungjawan berhubung siasatan itu.

Horner disoal siasat selama lapan jam oleh peguam di lokasi rahsia dekat London minggu lalu, beberapa hari sebelum salah seorang ketua pasukan paling berjaya sepanjang zaman itu muncul pada majlis pelancaran kereta 2024, pada minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 1:47 PM