MAS Ermieyati (kiri) bersalaman dengan pelajar ketika menghadiri program Guru Penyayang dan Salam Hormat. FOTO Khairunisah Lokman
MAS Ermieyati (kiri) bersalaman dengan pelajar ketika menghadiri program Guru Penyayang dan Salam Hormat. FOTO Khairunisah Lokman
Fairuz Zaidan


CUBAAN Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin menggunakan perkhidmatan Grab untuk menghadiri majlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi, Masjid Tanah, hari ini gagal apabila talian sibuk.

Mas Ermieyati berkata, beliau berhasrat menggunakan Grab di kawasan Masjid Tanah selepas kenderaan rasminya rosak, namun gagal walaupun sudah beberapa kali cuba mendapatkan rangkaian perkhidmatan e-hailing berkenaan

Akibatnya, beliau lewat sejam untuk menghadiri majlis berkenaan.

“Saya sepatutnya memang menaiki kenderaan rasmi pagi ini tetapi berdepan masalah bateri kereta menyebabkan saya mengambil keputusan menggunakan perkhidmatan Grab buat kali pertama.

“Namun, beberapa kali mencuba taliannya agak sibuk. Saya kemudian terpaksa meminta pertolongan rakan baik dari Puteri UMNO untuk menghantar ke majlis rasmi ini. Saya pandu sendiri kereta manual ke sekolah,” katanya berseloroh.

Mas Ermieyati berkongsi pengalaman itu pada sidang media selepas Majlis Pelancaran ‘Program Guru Penyayang dan Salam Hormat’ di SMK Hang Kasturi, hari ini.

Yang hadir sama, Pengetua SMK Hang Kasturi, Noridah Ab Rahim.

Dalam perkembangan lain, Mas Ermieyati berkata, beliau berharap setiap masjid dan surau di daerah Masjid Tanah dapat mewujudkan ‘gerobok kebajikan’ bagi berkongsi rezeki pelbagai keperluan harian kepada yang memerlukan.

“Ketika kali pertama saya memperkenalkan konsep ini kira-kira dua tahun lalu, ada yang pelik dan tidak kurang juga ada yang malu untuk mengambil barangan keperluan secara percuma.

“Konsep ini patut diperluaskan di semua masjid dan surau kerana ramai pihak sebenarnya yang ingin membantu walaupun sumbangan tidak sebesar mana, tapi sekurang-kurangnya kita dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat,” katanya.

Untuk rekod, daerah Masjid Tanah, di sini, mempunyai sebanyak 41 masjid dan 176 surau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 2:34 PM