LELAKI berumur 67 tahun yang ditahan memandu dalam keadaan mabuk. -Foto Ihsan PDRM
LELAKI berumur 67 tahun yang ditahan memandu dalam keadaan mabuk. -Foto Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI warga emas yang memandu kereta dalam keadaan mabuk ditahan polis yang menjalankan Op Mabuk di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Alor Setar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, anggota polis trafik yang sedang menjalankan operasi itu, 1.50 pagi tadi menahan kereta dipandu lelaki berusia 67 tahun itu untuk pemeriksaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menggunakan alat ‘Screening Device II’ (SDII) mendapati kandungan alkohol sebanyak 113 miligram (mg) dalam 100 milimeter (ml).

“Anggota polis kemudian membawa lelaki itu ke Balai Polis Trafik Kota Setar untuk menjalani sekali lagi ujian pernafasan menggunakan mesin EBAII.

“Hasil bacaannya 95mg dalam 100ml melebihi had yang ditetapkan sebanyak 80mg dalam 100ml,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rozi berkata, suspek kemudian ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1994).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 8:52 AM