RAJA Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan berangkat menziarahi keluarga arwah Nurul Ain. FOTO Royal Press Johor
RAJA Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan berangkat menziarahi keluarga arwah Nurul Ain. FOTO Royal Press Johor
Mohd Fahmi Mohd Yusof


PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berkenan berangkat menziarahi keluarga mangsa lemas, Nurul Ain Sajali di Kampung Sepakat, Masai hari ini.

Menerusi kenyataan dalam laman rasmi Facebook keluarga Diraja Johor, Raja Zarith tiba di kediaman arwah jam 9 malam, beberapa minit selepas ketibaan jenazah mangsa.

Nurul Ain yang berusia lapan tahun lemas dalam tragedi di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi semalam dan mayat mangsa ditemui jam 4.30 petang tadi.

Permaisuri Johor berkenan meluangkan masa hampir 45 minit membaca Surah Yasin serta menemui kedua ibu bapa arwah Nurul Ain, Sajali Nin, 48, dan Nur In Sazali, 41.

Jenazah Nurul Ain selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pertanian selepas selesai Solat Isyak.

Kenyataan dalam laman Facebook itu turut memaklumkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor menzahirkan rasa sedih di atas tragedi yang menimpa kanak-kanak itu dan Tuanku berdua turut berkongsi kesedihan.

Terdahulu, pihak bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama agensi berkaitan kira-kira jam 8.30 pagi bagi mengesan mangsa.

Mohd Fadli berkata, operasi dijalankan pihaknya bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), pihak berkuasa tempatan (PBT) Pengerang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Katanya, pencarian dibahagikan kepada dua iaitu pencarian di pesisiran pantai dan menggunakan bot di laut.

“Semalam kita (bomba) membuat pencarian sekitar satu kilometer persegi.

“Hari ini radius kawasan pencarian turut diperluaskan kira-kira dua kilometer persegi dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya.

Berita berkaitan

'[Update] 'Mayat Nurul Ain sudah ditemui''

'[Update] 'Kaki Ain seperti ditarik''

'Hilang disedut laut [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 10:20 PM