FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Kesihatan mengesahkan 11 individu di Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor, disahkan menghidap penyakit Chikungunya, setakat 31 Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat melaksanakan pengesanan kes secara aktif (active case detection) dan seramai 14 pesakit mempunyai gejala penyakit Chikungunya.

“Selepas ujian lanjut dibuat, 11 pesakit disahkan menghidap penyakit Chikungunya.

“Tindakan kawalan dan pencegahan penyakit Chikungunya, iaitu pemusnahan tempat pembiakan nyamuk dan aktiviti semburan kabus sudah dilaksanakan di sekitar kawasan Tanjung Sepat oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat.

“Buat masa ini kejadian adalah terkawal,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Katanya, penyakit Chikungunya adalah disebabkan oleh virus Chikungunya yang disebarkan oleh nyamuk Aedes, iaitu jenis nyamuk yang sama menyebarkan penyakit Denggi.

Dr Noor Hisham berkata, pesakit yang dijangkiti Chikungunya akan mengalami demam, ruam, sakit badan dan sakit sendi yang boleh mengganggu pergerakan pesakit.

“Kami meminta pesakit yang mempunyai gejala-gejala ini, diminta mendapatkan ujian dan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan berhampiran.

“Orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit sendi terutama penduduk di kawasan kampung Tanjung Sepat dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan yang berdekatan.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini,” katanya.

Katanya, maklumat situasi semasa Chikungunya boleh didapati di laman facebook CPRC – Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 8:38 PM